Dua legenda dalam kelas tersendiri - Utusan Malaysia

Dua legenda dalam kelas tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERITA baik buat seluruh peminat muzik underground tanah air apabila dua kumpulan legenda akan bergabung di atas satu pentas pada 9 Mac ini di Zepp Kuala Lumpur. 

Bertemakan Clash of the Titans bakal mempertaruhkan Godfathers of Oi!, A.C.A.B bersama gamechanger Thrash Metal, Cromok yang pastinya menjadi lakaran sejarah dalam industri muzik tempatan. 

Walaupun berbeza genre, namun perjuangan di bawah ‘satu bendera’ sentiasa menyatukan peminat mereka, malah sebelum ini sudah acap kali pemuzik underground berkongsi pentas terutamanya dalam persembahan berskala kecil. 

Menurut penyanyi dan pemain gitar utama A.C.A.B, Megat Hafiz atau Max Mohammad, idea untuk menggabungkan dua kumpulan ini telah lama tercetus. 

Pemilihan Cromok juga dilihat tepat kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengikut yang ramai malah dianggap antara pelopor irama thrash metal tanah air ketika bergiat aktif di penghujung dekad 80-an dahulu. 

“Masa showcase Bangun tempoh hari, saya lihat bukan setakat peminat skinheads dan punks yang datang menonton, tetapi tidak terkecuali peminat metalheads, itu yang surprise! 

“Jadi, saya fikir kenapa tidak gabungkan dua aliran ini dalam satu persembahan? Saya jumpa Karl Cromok dan kongsikan idea ini kepadanya. Alhamdulillah, dia setuju, jadi lahirlah idea Clash of the Titans.” katanya pada sidang media Konsert Clash of the Titans, di Timeless Studio Damansara Perdana minggu lalu. 

Walaupun terdapat isu pemain bass mereka, Anas Md. Noor yang menarik diri daripada kumpulan, namun ia sedikit pun tidak merencatkan persediaan A.C.A.B, malah kekosongan itu terus diisi oleh pemuzik undangan yang cukup berpengalaman iaitu Andy dari kumpulan Flop Poppy. 

Menurut Max, 46, keputusan Anas itu dibuat secara tiba-tiba sebelum sempat mereka membuat pengumuman untuk mengadakan konsert Clash of the Titans ini. 

“Benar, Anas telah  menarik diri daripada A.C.A.B, dan kita sudah cuba pujuk dia untuk stay tetapi dia tetap dengan pendirian untuk tinggalkan band ini, jadi kita kena hormatilah keputusan dia. 

“Kami memilih Andy untuk isi kekosongan tersebut berdasarkan kriteria yang ada padanya sebagai pemuzik berpengalaman. Dia juga bermula dengan scene underground, jadi pemilihan itu agak tepat dan sesuai,” ujarnya lagi. Selain Max, kumpulan ini turut dianggotai, Edy J. Herwan (gitar), Zeezul Fitri (dram) dan Andy (bass jemputan).

KUASA DAN PENGARUH CROMOK

WALAUPUN baru mengadakan Konsert Ulang Tahun ke-30 Cromok Forever In Time tahun lalu, kini Cromok sekali lagi bakal muncul di pentas bersama A.C.A.B, dalam merealisasikan sebuah persembahan hebat yang julung kali diadakan. 

Ditubuhkan pada 1987, kumpulan yang menggabungkan irama thrash metal dan elemen tradisional Melayu ini dilihat berjaya menjadi ikon metal tempatan apabila albumnya berjaya terjual ratusan ribu unit di seluruh negara. 

Walaupun genre yang diketengahkan amat unik dan berbeza daripada sesetengah kumpulan metal sedia ada, namun itulah kunci dan kelebihan yang membuatkan Cromok terus diminati sehingga kini. 

Pemain gitar Cromok, Khairul Anuar Shariff atau lebih dikenali sebagai Karl, turut berkongsi keterujaan apabila diberi peluang berkolaborasi dengan A.C.A.B yang menurutnya mempunyai identiti tersendiri dalam mengangkat irama dan jenama skinhead dalam scene muzik underground di Malaysia. 

“Pertama kali Cromok berkolaborasi dengan sebuah kumpulan yang berbeza genre di atas satu pentas. Agak menakjubkan, dan pastinya ia akan memberi satu kelainan dan keterujaan kepada kami serta peminat yang hadir. 

“Cromok akan buat sedikit kelainan dengan membawa lagu-lagu yang tidak pernah kami mainkan secara live kepada umum sebelum ini. Jadi, untuk saksikannya penonton harus datang ke konsert nanti,” ujar Karl. 

Bakal menubuhkan kelab peminat secara rasmi dalam waktu terdekat, Cromok berpandangan ini adalah waktu sesuai memandangkan kuasa media sosial yang meluas ketika ini. 

Walaupun terlewat namun mereka percaya perancangan ini mampu direalisasikan dengan sokongan daripada peminat. 

Selain itu, Cromok juga bercadang untuk mengadakan konsert secara maya, idea tersebut tercetus selepas wujudnya permintaan daripada peminat mereka yang tinggal jauh dari Lembah Klang. 

“70 peratus peminat Cromok dari Kuala Lumpur dan selebihnya ada di setiap negeri. Kami dah dapatkan respons daripada mereka, malah ada yang sanggup bayar tiket RM100 untuk saksikan konsert secara maya. 

“Perkara ini tak pernah dibuat orang lagi jadi somebody needs to start, baru kita akan tahu ada market ataupun tidak,” kata Karl. Turut menganggotai kumpulan ini adalah Sam (vokalis/bass), shah (gitar) dan Apis (dram).

ANTARA KEJUTAN DAN PENGHARGAAN

MENGAMBIL masa lebih kurang tiga bulan untuk merealisasikan konsert berprestij ini pastinya ada beberapa kejutan istimewa yang mungkin tidak pernah disaksikan oleh para peminat underground sebelum ini. 

Tidak mustahil konsert Clash of the Titans, A.C.A.B dan Cromok bakal memahatkan sejarah tersendiri buat mereka dan peminat yang hadir apatah lagi kedua kumpulan legenda ini sudah pun berjaya melaksanakan konsert masing-masing tahun lalu dengan jayanya. 

Bukan sekadar mempersembahkan karya di pentas, malah mencipta kelainan serta meninggalkan momen indah buat penonton adalah perkara penting yang perlu diutamakan. 

Apatah lagi kedua kumpulan ini sudah berada dalam kelas tersendiri setelah mencipta jenama dan identiti. 

Bagi kedua-dua ikon muzik underground tempatan ini pastinya masing-masing akan mempersembahkan seleksi lagu-lagu terbaik daripada diskografi mereka sepanjang zaman. 

Clash of the Titans anjuran A.C.A.B Productions ini bakal berlangsung pada Sabtu, 9 Mac di Zepp Kuala Lumpur bermula pukul 8 malam. 

Untuk informasi, tiket Premium Seats dan VIP Box telah habis dijual sejak pada 14 Januari lalu. Namun peminat masih berpeluang untuk membeli tiket Rock Zone (RM230), free standing (RM180) dan normal seats (RM250). 

Pembelian boleh dilakukan di: myticketempire.com/cromokxacab selain boleh dapatkan merchandise rasmi Clash of the Titans seperti t-shirt, lanyard & card dan guitar pick di www.acabproductions.com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya