KUALA LUMPUR: Seorang bekas pensyarah kerugian lebih RM1.4 juta setelah terpedaya dengan taktik penyamaran sindiket penipuan kewangan dalam talian yang menyamar sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan di Kajang, Selangor pada awal bulan ini membabitkan wanita berusia 61 tahun berhubung kes berkenaan.
Katanya, mangsa mendakwa mengikut segala arahan diberikan sehingga mengakibatkannya membuat pindahan wang ke akaun yang ditetapkan.
“Dalam kes ini, mangsa menerima panggilan dari individu yang mendakwa pegawai dari NSRC.
“‘Pegawai’ tersebut kemudiannya memaklumkan pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa ekoran terdapat aduan bahawa nombor itu telah menghantar pautan haram serta mesej penipuan.
“Untuk tujuan siasatan, panggilan kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Ramli, sebanyak 18 kertas siasatan membabitkan kerugian RM1.49 juta telah dibuka berkaitan penipuan penyamaran sebagai pegawai NSRC sejak 1 Januari hingga 11 Februari lalu.
Tegasnya, komunikasi NSRC adalah berbentuk sehala sahaja justeru ia tidak membuat panggilan kepada mana-mana individu.
“Sebarang panggilan yang mengaku dari pihak NSRC adalah satu penipuan.
“Bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa mangsa-mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi NSRC di talian 997 untuk melaporkan insiden yang berlaku.
“Sebaiknya, panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar peluang untuk membuat sekatan terhadap wang yang telah dipindahkan lebih tinggi,” katanya.- UTUSAN