DUNGUN: Prihatin dengan nasib mangsa banjir di Kampung Shukor, Hulu Dungun dekat sini, kira-kira 30 sukarelawan menggembleng tenaga membantu membaik pulih kediaman penduduk yang rosak akibat banjir, baru-baru ini.
Kumpulan sukarelawan yang diberi nama Betis Karat dan Prihatin Anak Watan Terengganu yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur itu memulakan kerja-kerja membaiki rumah seawal pukul 9 pagi.
Pengerusinya, Mat Zaki Mat Yas berkata, antara kerja-kerja pembaikian yang dilakukan ialah membina semula struktur dinding yang runtuh, menggantikan tingkap, pintu serta melakukan pendawaian elektrik bagi membolehkan penduduk dapat menduduki kediaman mereka dengan selesa.
“Kita terpanggil untuk melakukan kerja-kerja amal ini sebab keadaan rumah penduduk di sini sangat teruk, ada rumah yang tercabut dinding, atap tercabut dan ada lantai rumah yang roboh sebab rata-rata rumah mereka dibuat daripada kayu.
“Penduduk bukan sahaja kehilangan harta benda, malah rumah mereka juga rosak teruk. Jadi, kami ambol inisiatif untuk membantu membaik pulih rumah mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Shukor, Hulu Dungun, di sini, hari ini.
Mat Zaki berkata, mereka turut mengumpul dana sendiri untuk membeli peralatan termasuk bahan binaan tanpa bantuan pihak luar.
“Kita cuba sedaya upaya setakat yang mampu. Sekurang-kurangnya dapat melegakan hati mangsa banjir ini. InsyaAllah, kalau ada dana lebih kita akan bantu baiki lebih banyak kediaman,” katanya.
Dalam kejadian banjir yang berlaku pada 25 Januari lalu mengakibatkan lebih 400 penduduk di Kampung Shukor dan Kampung Pasir Raja terjejas dengan lima buah rumah penduduk hanyut dan lebih 60 peratus kediaman mengalami kerosakan teruk.- UTUSAN