Cik Bunga memang tak pelik pun dengan situasi bila mana ada kalangan individu atau pihak tertentu dalam industri seni ini yang suka mengamalkan sikap ‘sailang’ kerja orang atau rezeki orang.
Sebab perkara seperti itu memang ada berlaku. Cumanya, mereka yang buat begitu tak rasa malu atau rasa bersalahkah buat orang lain jadi mangsa keadaan?
Itu yang berlaku pada selebriti Zul 2by2 yang didakwa telah kehilangan satu tugas untuk menguruskan sebuah acara membabitkan artis bernama besar dari seberang.
Dari awal, Cik Bunga difahamkan, Zul telah banyak membantu pihak penganjur untuk menguruskan segala hal mengenai konsert tersebut bagi memastikan ia dapat direalisasikan.
Apa yang Cik Bunga dengar, Zul juga tak kisah guna masa, tenaga dan wang sendiri untuk bantu menguruskan proses termasuklah naik turun di pejabat bagi mendapatkan permit artis.
Tup tup, di tengah jalan, ada pula pihak ketiga masuk campur dan mengambil alih peranan Zul tanpa diketahui oleh Zul sendiri. Kalau Cik Bunga jadi Zul, kita pun tentulah tersinggung dan hairan dengan tindakan itu.
Iyalah, sudah penat kerja dari awal, teruja untuk memastikan acara menjadi, hujung-hujung kerja kita kena sailang dan orang lain pula dapat nama? Memang boleh angin satu badan.
Tetapi ada rakan Cik Bunga ceritakan, Zul meskipun ‘terkena’ sebegitu sekali dengan pihak terbabit, dia tetap cuba positifkan diri. Bahkan, cuba juga husnuzon dan tak mahu bersikap berdendam. Sampaikan isterinya pun tak faham dengan sikap Zul yang positif sangat.
Tak apalah, mungkin benar orang kata rezeki ada di mana-mana. Mana tahu, selepas ini, Zul beroleh rezeki yang lebih besar? Makan hati lah orang yang buat Zul itu. Ish… tak baik ya buat orang macam itu.