Zoo bergerak dekati tadika - Utusan Malaysia

Zoo bergerak dekati tadika

BURUNG Kakak Tua (Green Parakeet) mengusik seorang murid perempuan di Tadika Nurani Pintar, Semenyih.-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA hening pagi di Tadika Nurani Pintar, Taman Sri Tanjung, Semenyih bertukar meriah dengan jeritan kegembiraan kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun. 

Kalau selama ini, ada murid lelaki yang kaki ponteng, tiba-tiba hari ini segak ke sekolah. 

Semuanya, gara-gara sepasukan renjer zoo mini bergerak hadir bersama haiwan peliharaan seperti burung kakak tua, arnab, ayam, ular sawa, cicak eksotik dan cicak gecko.  

Penolong Pengurus, Ultimate Creatures Petting Zoo & Animal Show, Safwan Azim Shukri berkata, pihaknya sering mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan walaupun ketika hari biasa.  

Ujarnya, lebih 80 spesis dimiliki dan semestinya burung kakak tua dan ular sawa paling mencuri tumpuan kanak-kanak.   

 

“Kadang-kadang tu sampai tak menang tangan. Ikutkan kami ada empat pasukan yang akan bergerak ke lokasi tertentu pada setiap hari. 

“Haiwan semua ditempatkan di ibu pejabat di Shah Alam. Jadi kami akan bergerak awal pagi supaya dapat tiba ke destinasi yang dituju mengikut janji yang ditetapkan bersama pelanggan,” katanya kepada Seri. 

CABARAN ZOO BERGERAK 

Disoal cabaran membawa zoo bergerak, kata Safwan Azim, ia bergantung kepada perjalanan dan lokasi sesebuah tempat berkenaan. 

Kongsinya, haiwan seperti mamalia dan reptilia tidak boleh berada dalam suhu terlalu panas atau sejuk kerana boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. 

“Selalunya kami akan buat tinjauan lokasi acara atau minta gambar daripada pelanggan. 

“Ini penting bagi memastikan haiwan berada dalam suhu persekitaran yang baik, seperti kipas mencukupi dan berbumbung,” katanya. 

Safwan Azim bersama lapan staf lain bergerak ke seluruh negeri termasuk Perlis dan Johor Bahru. 

Katanya, konsep mini zoo bergerak semakin mendapat tempat kerana kanak-kanak lebih berpeluang mendekati haiwan. 

“Boleh sentuh, pegang dan bermain-main dengan haiwan kesayangan sambil dipantau staf bertugas.

“Haiwan pula sangat senang diuruskan. Sebagai contoh, ular sawa hanya makan dua kali seminggu. Jadi, tak perlu kisah tentang soal makan dan minum,” ujarnya. 

MESTI BERANI 

Bagi mereka yang berminat menjadi sebahagian daripada kru Ultimate Creatures, anda perlu menjadi seorang yang berani dan bukan penggeli. 

Paling penting, katanya, adalah minat terhadap haiwan supaya dapat memahami setiap pergerakan, tingkah laku dan emosi binatang. 

“Kebanyakan staf di sini memang membela haiwan peliharaan di rumah. Mereka juga adalah terlatih, kalau bekerja separuh masa kami akan ambil mereka yang ada latar belakang pendidikan tentang haiwan. 

“Kalau masih baharu dan ingin berjinak-jinak dengan binatang, jangan bimbang kami akan ajar dari asas sampai mahir,” kongsinya.  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya