PUTRAJAYA: Datuk Zolkopli Dahalan dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut mengumumkan pelantikan lima daripada tujuh ahli suruhanjaya itu sebagai badan pemantau bebas terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari aspek siasatan aduan salah laku melibatkan integriti pasukan.
“Penubuhan suruhanjaya itu merupakan manifestasi kesungguhan kerajaan untuk menguruskan persepsi atau salah faham masyarakat umum terhadap integriti dan kredibiliti PDRM,” katanya menerusi sidang akhbar khas di sini hari ini.
Zolkopli sebelum ini adalah Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri.
Timbalan Pengerusi IPCC pula diisi oleh Datuk Mohamad Jazamuddin Hail Ahmad Nawawi yang mana
jawatan terakhirnya dalam perkhidmatan awam adalah Ketua Pengerusi, Lembaga Penasihat di Jabatan Perdana Menteri.
Tiga lagi yang dilantik untuk menganggotai IPCC adalah Martina@Kartina Zamhari, Datuk Shukri Abdullah dan Datuk Tan Kang Sai.
“Kronologi penubuhan IPCC ini bermula sejak 2020 yang akhirnya membawa kepada penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 pada 1 Julai 2023.
“Akta IPCC juga meletakkan peranan IPCC sebagai ‘mandatory referral’ yang mewajibkan pasukan polis untuk merujuk kes yang melibatkan jenayah seksual, cedera parah atau kematian dalam tahanan,” katanya.
Terdahulu, Saifuddin menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Cara Pelantikan IPCC melibatkan lima daripada tujuh ahli berkenaan.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, dua lagi ahli IPCC akan diisi apabila tiba masanya selepas mengenal pasti dalam kalangan individu yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan rekod tugas cemerlang dalam bidang masing-masing.
Jelas beliau, antara peranan utama yang akan diterajui oleh IPCC adalah menerima aduan salah laku anggota atau pegawai pasukan PDRM dan menyiasat aduan salah laku anggota atau pegawai pasukan PDRM yang diterima.
Selain itu, katanya, IPCC berperanan mengesyorkan tindakan tatatertib terhadap anggota atau pegawai pasukan PDRM yang terlibat dengan salah laku kepada Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) dan boleh memulakan siasatan sendiri tanpa rujukan daripada mana-mana pihak atas faktor kepentingan awam.
Tambahnya lagi, IPCC juga akan menjalankan fungsi seperti menggalakkan integriti dalam kalangan anggota pasukan polis, menasihati kerajaan dan membuat syor mengenai langkah-langkah yang sesuai untuk diambil dalam menggalakkan integriti dalam kalangan anggota pasukan polis. – UTUSAN