Zayn Rayyan: Polis tidak putus asa cari petunjuk baharu - Utusan Malaysia

Zayn Rayyan: Polis tidak putus asa cari petunjuk baharu

Zayn Rayyan
MOHD. Shuhaily Mohd. Zain dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berputus asa dan mencari petunjuk baharu menerusi semua maklumat yang diperoleh berkaitan kes bunuh kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya sedang mengumpul semua maklumat bagi mengukuhkan bukti sedia ada dan menahan suspek kes berkenaan.

Katanya, ia melibatkan proses triangulasi bagi melakukan analisa ke atas semua maklumat yang sudah diperoleh polis setakat ini.

“Kesemua maklumat itu sedang dikumpulkan dan akan diteliti satu persatu termasuk maklumat baharu. Kita sedaya upaya mencari petunjuk dan berkaitan suspek kes ini, ia bergantung kepada analisa yang kita jalankan untuk menentukan sama ada seseorang itu cukup segala bukti untuk ditahan,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Tegas Mohd. Shuhaily, polis tidak akan berhenti membuat siasatan dan berusaha sebaik mungkin sehingga kini.

“Kita berdoa supaya dapat menemui ‘cahaya’ dan pelaku yang bertindak kejam itu dapat dihadapkan ke muka pengadilan. Kami turut menghargai kerjasama orang awam yang menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut,” jelasnya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan motif pembunuhan Zayn Rayyan perlu diperincikan bagi mengenal pasti pelaku yang terbabit dalam kes pembunuhan itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu sudah dilakukan melebihi 90 peratus dari segi konvensional, saintifik dan forensik.

Namun, polis masih tidak mengetahui apa motif sebenar kanak-kanak terbabit dibunuh dan memfokuskan maklumat risikan bagi memperincikan maklumat sedia ada ke arah memulakan tangkapan.

Proses patologi tidak akan dibuat sekali lagi melainkan polis mendapat maklumat lain sekiranya ada tangkapan baharu.

Pada 5 Disember lalu, kanak-kanak berusia enam tahun itu dilaporkan hilang di Damansara Damai di sini, sebelum ditemui meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokannya.

Bagaimanapun siasatan bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa.

Pada 23 Disember lalu, media melaporkan polis meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) dalam semakan pangkalan data berkaitan beberapa maklumat yang diperoleh hasil siasatan setakat ini.

Setakat ini, pihak polis merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya