KUALA LUMPUR: Tidak pernah tertekan masih belum mendirikan rumah tangga di usia 40 tahun, pelakon dan penyanyi, Zarina Zainoordin mendedahkan sedang berkawan rapat dengan lelaki dikenalinya sejak 10 tahun lalu.
Kongsi Zarina, selain sikap keterbukaan dan matang, dia juga selesa untuk menjalinkan hubungan dengan dua anak dua itu kerana kedudukan kewangan yang kukuh dan memahami kerjaya serta peribadinya.
“Dia bukan dalam kalangan orang seni. Lagipun saya memang sudah tidak mahu menjalinakn hubungan dengan orang seni. Sekarang saya pilih yang berduit.
“Kami selesa berkawan rapat. Dia menjalankan perniagaan sendiri dan sangat memahami kerjaya seni saya. Dia juga di usia 52 tahun itu sangat matang dalam mengendali hubungan.
“Dia pun tahu kenapa saya pilih dia. Dia juga tak pernah berkira. Tahu-tahu sahaja, duit bulanan rumah dia sudah bayar, ”katanya.
Zarina ditemui di majlis tayangan perdana drama bersiri, Gemersik Berbisik yang bakal ditayangkan di Unifi TV di sini.
Kendati pun sudah lama menjalikan hubungan,Zarina bagaimanapun belum bertemu tarikh sesuai untuk mendirikan rumah tangga dengan lelaki tersebut.
“Kalau ditanya, memang saya sudah lama bersedia untuk berumah tangga sejak zaman sekolah lagi.
“Tapi tak adalah sampai tahap tertekan sebab masih belum berkahwin di usia 40 tahun. Keluarga dan saudara mara juga tak pernah tanya langsung soal jodoh.
“Cuma sesekali bila balik raya terasa juga bila dikelilingi mereka yang sudah berkahwin. Tetapi saya percaya dengan susunan Tuhan,” kongsinya.
Terdahulu, bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua itu pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa pelakon lelaki namun kecundang di tengah jalan.
Zarina juga pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan bekas gitaris kumpulan muzik pada 2010 namun perancangan itu dibatalkan.-UTUSAN