IPOH: Yayasan Perak memperuntukkan sejumlah RM600,000 kepada kira-kira 3,000 bayi yang lahir pada tahun ini yang disalurkan menerusi Tabung Simpanan Anak Perak (Taspen) melibatkan agihan RM200 seorang.
Tabung berkenaan merupakan inisiatif Kerajaan Perak melalui peruntukan yang disalurkan kepada yayasan itu bagi menggalakkan simpanan pendidikan bagi anak-anak kelahiran negeri ini.
Yayasan Perak dalam kenyataan memaklumkan, sumbangan sebanyak RM10,000 disalurkan kepada anak-anak yang dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) yang merupakan permulaan bagi baucar Taspen tahun ini.
Sumbangan itu disumbangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad selaku Pengerusi Yayasan Perak dalam satu majlis ringkas di Wad Bersalin HRPB semalam.
“Seramai 18 bayi dilahirkan pada 1 Januari lalu di HRPB. Sumbangan sebanyak RM200 seorang diberikan dalam bentuk simpanan pendidikan ke dalam akaun SSPN Prime, yang juga merupakan sebahagian daripada Program Tuisyen Cikgu Saarani,” katanya.
Sumbangan yang diwujudkan sejak 2010 sehingga akhir tahun lalu itu, kerajaan negeri membelanjakan kiri-kira RM6.47 juta dan sejumlah 32,351 bayi kelahiran baharu menerima manfaat tersebut.
Yayasan Perak diamanahkan untuk menguruskan bantuan ini bersama Perbadanan Tabung Simpanan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Setiap RM200 yang disumbangkan itu akan disimpan di dalam Akaun SSPN Prime, satu akaun tabungan direka khusus sebagai akaun tabungan jangka masa panjang dengan kadar pulangan dan kelebihan tertentu yang ditawarkan oleh PTPTN.
“Adalah menjadi harapan kerajaan negeri melalui Yayasan Perak agar simpanan permulaan sebanyak RM200 ini terus ditambah dari semasa ke semasa sehinggalah anak-anak ini mencapai usia 18 tahun.
“Sebagai contoh, dengan simpanan berjumlah RM50 sebulan atau RM600 setahun, setiap ibu bapa akan mempunyai tabungan berjumlah hampir RM16,000, berdasarkan kadar pulangan empat peratus setahun,” ujarnya. – UTUSAN