Wujudkan institusi A. Samad Ismail - Utusan Malaysia

Wujudkan institusi A. Samad Ismail

A. Samad
MUSA HITAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Nama Tokoh Wartawan Negara, Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail wajar diabadikan dengan mewujudkan sebuah institut atau kursi sebagai platform bagi mengembangkan penyelidikan dalam bidang kewartawanan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata, penubuhan tersebut bukan sahaja mengingati jasa dan sumbangan penulisan beliau dalam kewartawanan dan kesusasteraan, tetapi memandu profesion itu di negara ini pada masa hadapan.

“Pelbagai idea saya dapat tahu, satu daripadanya adalah diadakan institut itu di dalam sesuatu universiti yang terkemuka dalam negara kita ataupun mungkin kita boleh tubuhkan satu institut yang bebas mungkin dengan sesuatu yang mengikut undang-undang yang boleh menubuhkan institut.

“Saya bersetuju dengan cara itu dan berharap saudara dan saudari yang berminat akan berkumpul untuk memikirkan sedalam-dalamnya bagaimana institut itu paling penting sekali boleh memperbaiki dan menentukan profesion kewartawanan di negara ini,” katanya ketika merasmikan Simposium Memperingati A. Samad Ismail, hari ini.

Malah beliau ketika ditemui pemberita selepas perasmian tersebut menjelaskan, institusi tersebut harus ditubuhkan sama ada di bawah universiti terkemuka, kerajaan ataupun sebagai sebuah badan bebas.

“Jadi, bila kita bercakap berkenaan dengan Pak Samad (A. Samad), saya bersetuju namanya harus diukir sebagai seorang daripada wartawan terkenal dalam negara kita malahan di negara-negara ASEAN.

“Tetapi, yang dibahaskan tadi adalah beberapa kemungkinan institusi itu ditubuhkan, satu dikatakan di bawah naungan sesuatu institusi yang terkenal. kedua melalui kerajaan, ketiga sebagai satu institusi yang bebas dengan tidak ada kaitan dengan institut lain.

“Cuma penubuhan institusi itu mungkin memerlukan bukan sahaja sokongan kerajaan malahan memerlukan suatu undang-undang tertentu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar ketika dalam ucaptamanya pada simposium tersebut menyambut baik cadangan tersebut bagi mengekalkan legasi A. Samad sebagai wartawan, cendekiawan dan negarawan.

Sementara itu, Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican turut mencadangkan antaranya menamakan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) di UiTM sebagai Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media A Samad Ismail.

Malah beliau turut bercadang agar nama tokoh itu diabadikan sebagai nama jalan di Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar di Malaysia serta mewujudkan satu memorial, galeri atau perpustakaan A. Samad Ismail di satu tempat yang sesuai.

Terdahulu, simposium selama satu hari itu yang dihadiri kira-kira 150 tetamu itu diadakan bagi menghargai sumbangan dan jasa A. Samad kepada dunia kewartawanan di Malaysia

A. Samad atau nama sebenarnya Abdul Samad pernah berkhidmat sebagai wartawan Utusan Melayu di Singapura ketika berusia 16 tahun dan mendapat bimbingan daripada tokoh wartawan, Abdul Rahim Kajai.

Semasa pendudukan Jepun dari tahun 1941 hingga 1945, A. Samad pernah menjadi Ketua Pengarang Berita Malai iaitu gabungan Utusan Melayu dan Warta Melayu sebelum berkhidmat di akhbar Berita Harian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya