SEREMBAN: Hasrat seorang warga emas mendapat pulangan lumayan bertukar mimpi ngeri apabila mengalami kerugian RM228,000 selepas terpedaya dengan pelaburan mata wang digital kripto yang disertainya pada Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdul Malik Hasim berkata, berdasarkan laporan mangsa, dia memberitahu telah terpengaruh dalam satu kumpulan Telegram untuk menyertai pelaburan mata wang digital kripto melalui platform ACCERX Hong Kong.
“Mangsa kemudiannya berurusan dengan seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai Teacher Zhang dan suspek menjanjikan pulangan lumayan.
“Pada permulaan, pengadu membuat transaksi pertama berjumlah RM8,000 dan berjaya mendapat keuntungan pelaburan berjumlah RM15,000 yang dimasukkan ke dalam akaun di platform ACCERX Hong Kong tersebut.
“Seterusnya pengadu dipujuk oleh Teacher Zhang untuk menambah nilai pelaburan sehingga mencecah RM228,000 melalui 13 transaksi kewangan ke sembilan akaun berbeza.
“Pengadu mula menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran bagi pelaburan yang dibuat atas alasan akaun pengadu terlibat dengan penggubahan wang haram,”katanya ketika dihubungi.
Sehubungan dengan itu, Abdul Malik berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang berusaha mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut.
Dalam pada itu beliau berkata, polis turut menasihatkan orang awam agar membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan. – UTUSAN