Wanita seleweng wang majikan RM680,000 dipenjara 24 tahun 

Wanita seleweng wang majikan RM680,000 dipenjara 24 tahun 

TERTUDUH, Tan Siau Ling diiringi anggota polis keluar dari bilik perbicaraan selepas dikenakan hukuman empat tahun penjara di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang bekas eksekutif akaun sebuah syarikat dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh dua Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas enam pertuduhan melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan wang milik majikannya berjumlah RM680,108.13 empat tahun lalu.

Tertuduh, Tan Siau Ling, 43, membuat pengakuan itu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai eksekutif akaun di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd. didapati telah melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang daripada akaun United Overseas Bank milik syarikat terbabit ke dalam beberapa akaun bank milik peribadi dan dan bekas suaminya berjumlah keseluruhan RM680,108.13.

Perbuatan itu dilakukan di Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd., Jalan PM 5, Plaza Mahkota Melaka dalam daerah Melaka Tengah antara 24 Mei 2019 sehingga 23 Oktober 2019

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 14 tahun dan dengan sebat dan juga boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Rashidah Baharom mencadangkan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat selain mengambil kira kerugian melebihi RM300,000 yang dialami oleh syarikat berkenaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Nur Atifah Kamal Effendi memohon hukuman penjara minimum dengan alasan tertuduh yang juga ibu tunggal telah insaf dan menanggung tiga anak yang masih bersekolah serta ibunya yang uzur.

Nur Atifah turut memaklumkan tertuduh bertindak melakukan kesalahan tersebut kerana terdesak selepas terlibat dengan pelaburan palsu dalam talian.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 20 Jun 2023.

Mengikut fakta kes, pengadu yang juga Pengarah Urusan Syarikat Hap Yeng Seng Sdn. Bhd. telah membuat semakan audit pembayaran kepada pembekal pada 30 September 2019 dan mendapati berlaku penyelewengan oleh tertuduh membabitkan 47 transaksi yang tidak sah.

Semakan lanjut mendapati invois bayaran dan baucar pembayaran nama syarikat yang dibayar adalah berbeza susulan tindakan tertuduh yang memindahkan wang tersebut ke dalam beberapa akaun miliknya dan bekas suaminya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN