PUTRAJAYA: Misi Bantuan Banjir Pantai Timur anjuran Wanita PKR berjaya mengumpul bantuan keseluruhan berjumlah RM300,000 untuk diagihkan kepada 1,000 keluarga mangsa banjir.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya berbangga dengan sumbangan yang dikumpulkan itu kerana ia (kutipan) baru sahaja dilancarkan 31 Disember lalu.
Beliau berkata, fasa pertama misi bantuan banjir itu akan digerakkan serentak esok ke tiga buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Antara barangan dikumpulkan termasuk 300 kampit beras, 100 bakul makanan, wang tunai dan pelbagai barangan keperluan diri seperti kain pelikat dan tuala wanita.
“Misi bantuan itu akan digerakkan oleh 100 sukarelawan termasuk pimpinan Wanita Keadilan di tiga negeri itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelepasan konvoi misi bantuan di sini, hari ini.
Katanya, konvoi misi bantuan banjir itu akan digerakkan menggunakan enam buah kenderaan pacuan empat roda sebelum disambut oleh pimpinan Wanita Keadilan di tiga negeri itu.
Fadhlina berkata, fasa kedua misi bantuan membabitkan agihan buku dan peralatan sekolah akan dilancarkan dalam masa terdekat.
“Misi bantuan banjir ini bertujuan meringankan beban ditanggung mangsa banjir yang terjejas bencana itu baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN