SHAH ALAM: Tindakan seorang jurujual menghina doktor sebuah klinik swasta dengan kata-kata kesat atau mencarut menerima padah apabila didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Tertuduh Laura Mannel Supramaniam, 35, mengaku bersalah selepas pertuduhannya dibacakan di hadapan Majistret Sasha Diana Sabtu.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran kemudian memohon kepada mahkamah supaya menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesalahan dilakukan wanita itu.
Peguam mewakili tertuduh, Shalehhuddin Salam kemudian memohon mahkamah mengambil kira keadaan tertuduh menjaga ibunya yang sedang menjalani rawatan dialisis.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100 terhadapnya atau penjara sehari jika gagal bayar. Laura Mannel kemudian membayar denda tersebut selepas prosidingnya selesai.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan aksi dengan maksud menghina seorang doktor dekat sebuah klinik swasta di Bandar Sunway, Subang Jaya ketika berada di situ pada pukul 5 petang, 10 Januari lalu.
Antara yang dilalukannya termasuklah menyebut perkataan ‘fuck you’ terhadap doktor terbabit.
Justeru, Laura Mannel dituduh di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100. – UTUSAN