KUALA SELANGOR: Seorang wanita maut dan kanak-kanak berusia lima tahun tidak sedarkan diri selepas dua kereta jenis Proton Saga dan Toyota Estima bertembung dalam satu kemalangan dekat Jalan Assam Jawa, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, Nur Izzathy Ashikin Ibrahim, 32, menaiki kereta dipandu suaminya, Tarmizi Rumandud, 37, dikatakan dalam perjalanan dari arah Jeram ke Kuala Selangor sebelum bertembung dengan kenderaan lain yang dinaiki kanak-kanak tersebut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kereta yang dinaiki mangsa maut dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.58 pagi sebelum mengerahkan sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor ke tempat kejadian.
“Laporan awal daripada polis dan saksi menyatakan Toyota Estima dari arah Kuala Selangor menuju ke Jeram manakala Proton Saga pula dari arah sebaliknya memasuki laluan bertentangan lalu bertembung.
“Akibat kemalangan tersebut, wanita (Nur Izzathy Ashikin) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sementara Tarmizi mengalami cedera parah dan tersepit. Manakala kanak-kanak terbabit yang menaiki Toyota Estima tidak sedarkan diri dan bapanya, Mohd. Saiful Shahrir Mohd. Rosdi cedera ringan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Beliau menambah, pasukan bomba berjaya mengeluarkan mangsa tersepit selama kira-kira 20 minit menggunakan peralatan khas sebelum memberi rawatan awal kepadanya.
Kesemua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk rawatan sementara mangsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN