Wan Junaidi angkat sumpah sebagai TYT Sarawak

Wan Junaidi angkat sumpah TYT Sarawak

WAN Junaidi mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak di Dewan Lapau, DUN Sarawak, hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan (ke-8) di Dewan Lapau, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini.

Istiadat mengangkat sumpah Yang Dipertua Negeri Sarawak bermula pukul 3 petang yang dimulakan dengan pendaftar istiadat menghadap Yang Dipertua Negeri untuk perkenan memulakan istiadat.

Upacara dimulakan dengan perarakan masuk kawalan kehormat Batalion Ke-11, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan diiringi pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak ke medan perbarisan.

Ia kemudian disusuli dengan perarakan masuk panji-panji Batalion Ke-11, PGA ke medan perbarisan.

Sejurus tiba, Wan Junaidi kemudian menuju ke pentas khas sebelum memeriksa baris, dan seterusnya menerima hormat Diraja.

Wan Junaidi menerima surat cara pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan TYT Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara Jumaat lalu.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu dilantik sebagai TYT Sarawak mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun sehingga 26 Januari 2028.

Pelantikan Wan Junaidi bagi menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang menyandang jawatan itu selama tiga penggal bermula 1 Mac 2014.

Selepas mengangkat sumpah, Wan Junaidi menandatangani surat angkat sumpah pelantikan dan surat pengisytiharan disaksikan oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak.

Bekas ahli politik berpengalaman luas yang dilahirkan di Sadong Jaya pada 1 Februari 1946 itu, menyandang jawatan berkenaan selepas Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau merupakan bekas Ahli Parlimen Batang Lupar sejak 1990 hingga 2004, sebelum bertukar ke kawasan Parlimen Santubong sehingga bersara tahun 2022.

Dalam karier politik beliau, Wan Junaidi merupakan Ahli Parlimen di dua kawasan tersebut selama 32 tahun susulan kemenangannya selama tujuh kali Pilihan Raya Umum.

Dalam Kabinet Persekutuan, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting, antaranya termasuklah sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 hingga 29 Julai 2015.

Kebolehan, dan pengalaman beliau juga diberikan kepercayaan untuk mengemudi salah satu portfolio dalam Kabinet Persekutuan sebagai Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 29 Julai 2015 hingga 10 Mei 2018.

Pada 10 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Beliau diberi kepercayaan menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) mulai 30 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Jawatan terakhir Wan Junaidi sebelum dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ialah Yang di-Pertua Dewan Negara.

Sebaik menerima watikah, beliau turut dianugerahkan anugerah tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SSM) yang membawa gelaran Tun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN