MELAKA: Pengenalan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah bertepatan dalam memastikan setiap individu yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan yang sepatutnya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, usaha kerajaan memperkenalkan PADU merupakan mekanisme terbaik kerana mengandungi profil dan isi rumah.
Menurutnya, PADU bakal memudahkan kerajaan negeri memberikan pelbagai faedah kepada rakyat seperti bantuan, subsidi, program e-Kasih dan sebagainya.
Beliau berkata, PADU akan digerakkan melalui wakil rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) bagi membantu rakyat mendaftar.
“Semua wakil rakyat di Melaka telah hadir untuk mendengar taklimat mengenai PADU dan mekanismenya. Kita perlu bekerjasama memberikan sokongan dengan menyeru kepada rakyat Melaka supaya mendaftar segera, kerana hendak memudahkan nanti delivery sistem yang selama ini kita hendak mengenal pasti.
“Jadi saya menyerulah kepada semua rakyat Melaka, bolehlah mendaftar segera dengan PADU jika boleh dengan kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tapak Caravan di Taman Bandaraya Bukit Serindit di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peluncuran PADU oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa lalu.
PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.
Hasil daripada komitmen dan kesungguhan semua yang terbabit, PADU dapat direalisasikan dalam tempoh enam bulan. – UTUSAN