Wakil rakyat boleh tolak pencen jika ada tanggungjawab moral

Wakil rakyat boleh tolak pencen jika ada tanggungjawab moral – PM

ANWAR Ibrahim (kiri) selepas menandatangani plak perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di Kuala Lumpur, hari ini. Turut sama, Timbalan Presiden Malaysian Zoological Society, Datuk Rosly @ Rahmat Ahmat Lana. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mana-mana ahli politik yang mempunyai lebih satu pencen boleh menolaknya jika mereka mempunyai tanggungjawab moral berbuat demikian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu terserah kepada bekas wakil rakyat termasuk dalam kalangan yang pernah memegang jawatan menteri dan menteri besar sekiranya masing-masing berasakan langkah itu dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, pemansuhan pencen wakil rakyat buat masa ini memerlukan pindaan undang-undang jika perkara itu dimuktamadkan oleh kerajaan kelak.

“Cuma orang mendapat gaji menteri, menteri besar dan pekerjaan di jabatan kerajaan tiga empat (pencen) paling kecil mungkin melihat keadaan ini memenuhi tanggungjawab moral menolak pencen lain dan memilih satu, mungkin terserah kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke- 60 Zoo Negara, di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) yang berpandangan bayaran bulanan diberikan kepada bekas wakil rakyat perlu diteruskan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, bayaran itu sebenarnya sumbangan kerajaan kepada mereka yang menjadi wakil rakyat atau disebut gratuity (ganjaran).

Beliau berkata, bayaran berkenaan bukanlah pencen seperti difahami sesetengah pihak.

Semalam, Anwar berkata, sebarang langkah memansuhkan pencen dalam kalangan penjawat awam juga terpakai membabitkan ahli-ahli politik termasuk wakil rakyat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, sebarang langkah memansuhkan pencen wakil rakyat dan menteri memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru katanya, buat masa ini tidak boleh dilakukan kerana terikat dengan undang-undang tertinggi negara itu.

“Sebenarnya masalah orang tidak baca ia Perlembagaan tidak membolehkan kita membatalkan apa telah dipersetujui sebelum ini.

“Yang kita hendak mulakan ialah peraturan baharu yang boleh berkuat kuasa setelah diputuskan bagi jawatan baharu termasuk jawatan politik. Itu cadangan kita yang akan dibentangkan di Jemaah Menteri dan kemudian di Parlimen kerana melibatkan beberapa pindaan undang-undang.

“Jadi tidak boleh batalkan sedia ada kerana terikat dengan perjanjian jaminan Perlembagaan,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan perlu mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa menyekat skim saraan perkhidmatan awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya