KUALA LUMPUR: Ketua Eksekutif KRU Entertainment, Datuk Norman Abdul Halim pula berpandangan tiada halangan untuk melaksanakan tangga gaji untuk menyelesaikan isu bayaran pelakon dan kru drama dan perfileman.
Katanya, kaedah tersebut boleh diimplementasikan sebagai garis ukur penerimaan bayaran yang layak diterima setiap pekerja industri seni tempatan.
“Memang patut kita laksanakan tangga gaji dan bayaran minima. Pelaksanaannya mungkin mengambil kira pengalaman, pentauliahan, penganugerahan, populariti dan pengaruh media sosial seseorang pelakon.
“Sebenarnya kaedah ini juga untuk melindungi hak pelakon veteran dan kru penggambaran yang berdepan masalah kadar bayaran yang terlalu rendah.
“Kita sasarkan masalah yang dihadapi golongan ini. Kalau pelakon A list mungkin tak hadapi perkara ini kerana ada dalam kalangan mereka yang dibayar ratusan ribu. Begitu juga pengarah ‘senarai atas’ yang ada menerima bayaran jutaan ringgit.
“Tapi saya tak nafikan kita tak boleh paksa penerbit atau pelabur untuk ikut garis panduan ini kerana ia berbalik kepada soal demand and supply. Namun pada masa yang sama, kita tak mahu dengar isu pelakon atau kru penggambaran yang dibayar sampai tahap menghina,” katanya.
Kata Norman lagi, isu bayaran golongan veteran dan pekerja filem berstatus B40 sebelum ini pernah dibincangkan.
Bagaimanapun sampai ke hari ini belum ada pelaksanaan konkrit yang ditetapkan untuk menanganinya.
“Isu ini pernah dibincangkan sewaktu saya menyertai Finas selaku timbalan pengerusi. Kami ada cadangan, wujudkan kontrak yang disyorkan yang antara lain untuk tetapkan kadar bayaran pelakon seperti disarankan.
“Hal itu juga telah dipaparkan di laman web Finas sebagai panduan kepada penerbit dan penggiat industri. Cuma ia tidak sempat dilaksanakan disebabkan beberapa kekangan antaranya penularan Covid-19 yang mengakibatkan penutupan industri perfileman dan drama pada ketika itu.
“Jadi saya sarankan kepada pemegang tampuk kepimpinan Finas sekarang agar teruskan dengan cadangan tersebut kerana mereka agensi yang berpengaruh dalam membuat keputusan,” kongsinya lagi.
Dalam masa yang sama, Norman tidak menolak isu ketiadaan kesatuan dalam dunia perfileman dan drama tempatan menjadi kekangan isu bayaran rendah pelakon veteran dan kru penggambaran untuk diselesaikan.
“Kita tak ada kesatuan yang menjadi perkara asas dalam menyelesaikan permasalahan industri. Itu paling utama.
“Kalau diikutkan, perkara ini boleh dilaksanakan sekiranya pemimpin persatuan berkaitan duduk semeja dan bincangkan masalah inu dengan penerbit dan stesen televisyen,” ujarnya.