Video budak jual sate ikan rupanya eksperimen sosial pempengaruh - Utusan Malaysia

Video budak jual sate ikan rupanya eksperimen sosial pempengaruh

VIDEO tular yang memaparkan kegigihan seorang budak lelaki berniaga sambil ditemani adik perempuannya di Taman Robina, Butterworth, Pulau Pinang, yang mengundang rasa sebak dan simpati netizen.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Video tular yang memaparkan kegigihan seorang budak lelaki berniaga sambil ditemani adik perempuannya di Taman Robin dekat sini, yang mengundang rasa sebak dan simpati netizen rupanya hanya ‘eksperimen sosial’ pempengaruh.

Pembikinan video itu didakwa untuk melihat reaksi dan keprihatinan orang ramai berkenaan isu semasa.

Pasangan suami isteri, Muzafar Idris, 35, dan Noor Amrina Azmi, 34, mengakui, gerai mereka disewa oleh seorang ‘pempengaruh’ tempatan yang menghasilkan kandungan video terbabit dengan tujuan untuk membantu meningkatkan jualan mereka.

MUZAFAR Idris, 35, dan Noor Amrina Azmi, 34, merupakan pemilik sebenar gerai yang digunakan pempengaruh untuk membuat video kanak-kanak sekolah menjual sate sehingga tular di laman sosial. -Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Walau bagaimanapun, Noor Amrina mendakwa, konteks video berkenaan disalahertikan apabila bahagian awal video yang memaparkan pemberitahuan eksperimen sosial itu ‘dipotong’ dan kemudiannya dikongsikan pengguna media sosial lain yang menggambarkan seolah-olah ia adalah kisah benar.

“Sehingga hari ini, sudah lebih 20 individu, agensi kerajaan antaranya Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negeri datang ke gerai kami bertanyakan mengenai keadaan kami sekeluarga.

“Sebenarnya, bukan anak kami yang menjual sate ikan, itu hanyalah pelakon yang diupah pempengaruh terbabit dan gerai kami hanya digunakan bagi tujuan penggambaran.

“Kami tidak sangka video itu akan tular sehingga sedemikian rupa dan kami memohon maaf sekiranya menyusahkan banyak pihak yang tampil dan ingin menghulurkan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Noor Amrina dan Muzafar yang memiliki tiga anak berusia antara sembilan sehingga setahun itu sudah lama berniaga iatu semenjak selesai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan Covid-19.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Ayer Tawar, Azmi Alang ketika dihubungi berkata, beliau terkilan akan sikap pempengaruh yang tidak beretika dalam menerbitkan kandungan video palsu bertujuan untuk meraih perhatian umum.

Katanya, beliau mengenali peniaga terbabit, malah setiap minggu akan ke tapak penjaja berkenaan untuk bertanyakan keadaan mereka.

“Sejujurnya, saya terkejut juga apabila video terbabit tular dan kebanyakan netizen meluahkan rasa kecewa kerana pemimpin setempat tidak peka akan kebajikan rakyat.

“Saya faham lakonan itu bertujuan untuk meraih publisiti dan populariti, namun maklumat tidak tepat seumpama ini turut memberi memberi kesan negatif kepada kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Sebab itu, saya sendiri telah memuat naik video mengenai pertemuan saya bersama pasangan suami isteri itu bagi merungkai kekeliruan yang timbul sekali gus menyampaikan maklumat tepat kepada warga maya,” katanya.

Minggu lalu media melaporkan kegigihan seorang budak lelaki berniaga sambil ditemani adik perempuannya di Taman Robina, Butterworth menimbulkan rasa kagum pengguna media sosial.

Menerusi video yang dimuat naik @yusry__ di akaun TikTok, kanak-kanak lelaki itu menjual pelbagai jenis makanan antaranya seperti sate ikan, otak-otak serta minuman.

Seorang wanita dilihat bertanya mengenai jualan kanak-kanak itu sebelum menghulurkan sedikit bantuan dan meminta dua beradik itu pulang kerana cuaca buruk.

Tindakan wanita berkenaan membuatkan kanak-kanak perempuan itu memeluk abangnya setelah melihat lelaki berkenaan menangis atas bantuan diberikan.

Sehingga kini, video itu telah menerima lebih 2.1 juta tontonan, 211,000 tanda suka dan 9,191 komen. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya