UUM, UiTM kaji punca kemalangan maut tinggi di Kuala Muda

UUM, UiTM kaji punca kemalangan maut tinggi di Kuala Muda

AMAN Shah Hashim (tengah) menunjukkan jenis-jenis topi keledar yang tidak memenuhi spesifikasi dan ditukar orang ramai dalam Program Penukaran Topi Keledar JPJ Kedah di Tasik Darul Aman, Jitra.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Dua pusat pengajian tinggi iaitu Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sedang melaksanakan kajian di daerah Kuala Muda, dekat sini yang mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi di Malaysia.   

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Aman Shah Hashim berkata, kajian itu dijalankan secara menyeluruh oleh kedua-dua universiti itu yang menganggotai Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) bagi mengetahui punca serta penyelesaiannya.  

Katanya, sebanyak 121 kemalangan dicatatkan di daerah tersebut antara Januari hingga September tahun lalu berbanding 108 bagi tempoh sama pada 2022.  

“Dalam masa sama kami akan mengadakan kolaborasi dengan beberapa pihak lain seperti polis, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS). 

“Selain Kuala Muda, Kulim dan Kota Setar turut berada dalam senarai daerah yang menjadi fokus kami. Di Kota Setar jumlah kemalangan maut adalah sebanyak 75 kes pada tempoh sama berbanding 67 pada 2022 manakala di Kulim, 63 kemalangan maut dicatatkan berbanding 62 sebelum itu.

“Kemalangan tidak hanya berpunca daripada sikap pengguna sebaliknya turut disebabkan oleh pelbagai faktor lain termasuk keadaan kenderaan dan jalan raya. Maka kami akan terus berusaha membawa kesedaran kepada pengguna jalan raya melalui pelbagai program antaranya kempen kesedaran, advokasi dan dialog antara pelbagai pihak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika meninjau pelaksanaan Program Penukaran Topi Keledar JPJ Kedah sempena Program Kedah Ambang Sejahtera 2024 di Tasik Darul Aman di sini, malam tadi. 

Dalam program tersebut, sebanyak 684 topi keledar percuma diedarkan kepada orang ramai yang melakukan pertukaran dengan membawa topi keledar lama atau rosak milik mereka, ke reruai disediakan JPJ. 

Sementara itu Aman Shah berkata, program penukaran topi keledar tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai apabila kuota pendaftaran bagi 684 topi keledar yang dibuka secara dalam talian pada 26 Disember lalu penuh dalam tempoh tidak sampai 24 jam. 

“Hal berkaitan topi keledar ini perlu dipandang serius kerana pemakaian topi keledar yang betul dan selamat boleh mengurangkan kecederaan kepala hingga 70 peratus dan mengurangkan risiko kematian hingga 40 peratus bersandarkan data dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). 

“Di Kedah, sebanyak 1,753 saman dikeluarkan sepanjang 2023 berkaitan kesalahan melibatkan pemakaian topi keledar. Jumlah itu meningkat sebanyak 159 peratus berbanding 676 saman yang dikeluarkan pada 2022,” katanya. 

Beliau turut memaklumkan, secara keseluruhannya sebanyak 135,962 saman dikeluarkan di Kedah bagi pelbagai kesalahan pada 2023. 

“Jumlah itu meningkat sebanyak 49 peratus berbanding 91,237 saman yang dikeluarkan pada 2022,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya