USM siap sedia hadapi gangguan bekalan air - Utusan Malaysia

USM siap sedia hadapi gangguan bekalan air

ABDUL RAHMAN Mohamed (tengah) menyerahkan air mineral kepada para pelajar USM di Gelugor, Pulau Pinang sebagai persediaan menghadapi gangguan bekalan air yang bermula esok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil langkah proaktif dan membuat persediaan rapi bagi menghadapi gangguan air berjadual selama empat hari yang bermula esok.

Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, USM turut menubuhkan jawatankuasa menangani krisis air di dalam kampus dan mengaktifkan bilik gerakan yang dikoordinasikan oleh Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre) USM.

Jelas beliau, antara inisiatif yang yang diambil termasuk menyediakan 200 baldi dan 800 karton air mineral untuk disumbangkan kepada penghuni desasiswa termasuk rumah kediaman keluarga, pelajar kelainan upaya (PKU) dan bilik Isolasi di kampus induk dan kampus cawangan yang terlibat.

“Persediaan USM bukan sekadar untuk memastikan bekalan air tetap ada untuk kegunaan dalam kampus, malah turut merangkumi pelbagai aspek termasuk mengambil kira proses pengajaran dan pembelajaran, perkhidmatan dan operasi harian pentadbiran,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, USM turut membuat hebahan berkala supaya setiap warga kampus peka dengan situasi semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi meminimumkan dan melestarikan penggunaan air di dalam kampus.

Selain itu, ujarnya, USM turut menyediakan lapan tangki tambahan (1,892 liter) yang ditempatkan di kawasan kritikal di dalam kampus induk dan sebuah tangki bergerak untuk keperluan mendesak.

Dalam pada itu, katanya, USM turut menjalankan pembelajaran secara dalam talian dan menggalakkan pelajar pulang ke kampung dan menangguhkan segala aktiviti persatuan pelajar secara fizikal bagi meminimumkan keberadaan pelajar di dalam kampus.

“Kakitangan juga diberi kebenaran untuk bekerja dari rumah (kecuali petugas barisan hadapan) sepanjang tempoh krisis bekalan air,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya, selain kampus induk di Gelugor, kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal yang turut berdepan situasi sama juga menerima lapan tangki tambahan selain 32 tong barrel (120 liter) yang akan ditempatkan di beberapa tandas di blok desasiswa.

“Kita telah bersedia sepenuhnya termasuk pelan kontigensi bagi menghadapi krisis ini yang diharapkan dapat memberi kelegaan dan membantu warga kampus dengan sebaiknya.

“Usaha dalam melakukan persediaan rapi ini dibuat secara kolektif dengan libatsama pelajar melalui MPP USM.

“MPP juga amat proaktif dan telah berjaya meraih pelbagai sumbangan luar untuk membantu rakan-rakan pelajar menghadapi situasi ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya