‘ALOR SETAR: Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi bayangan usaha mengambil alih kerajaan secara demokrasi tidak pernah dihentikan oleh pembangkang.
Beliau mendakwa, selagi mana usaha itu tidak membelakangkan Perlembagaan, proses tersebut tidak ada halangan untuk dilakukan tambahan pula dengan kelompongan yang ada pada Akta Anti Lompat Parti.
Malah Menteri Besar Kedah itu turut mengesahkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengakui wujud tentang rancangan yang dipanggil ‘Langkah Dubai’ itu.
“Saya rasa proses yang dibenarkan oleh undang-undang boleh dijalani kecuali yang tidak berperlembagaan, itu tak bolehlah. Tetapi yang selari dengan Perlembagaan untuk menyatakan sokongan kepada siapa boleh.
“Lima orang (Ahli Parlimen PN) depa sokong (kerajaan) itu tak ada masalah, tak ada siapa complaint. Digambarkan sebagai tindakan yang berperlembagaan berdasarkan demokrasi (maka) tindakan sebaliknya pun biasa saja.
“Kalau dia boleh ambil lima, kita boleh ambil 10 tak kan nak marah. Kalau sokong dia tak apa, kalau tak sokong dia takkan tak boleh. Tentulah boleh juga, itu proses biasa dibenarkan Perlembagaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam..
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh bertahan sehingga habis penggal dan mengetahui bila peralihan kuasa akan berlaku.
“Saya tahu (tarikh) tapi tak boleh beritahu (bila) menerusi peralihan sokongan yang akan berlaku. Secara demokrasinya tidak mustahil akan berlaku dan saya nampak ia akan terjadi,” katanya.
Ditanya sama ada gerakan itu boleh berlaku pada tahun ini, Muhammad Sanusi tidak menafikan perkara tersebut malah akan lebih gembira jika peralihan kuasa tersebut menjadi kenyataan pada bulan ini atau minggu ini.
Beliau berkata, ‘Langkah Dubai’ atau apa sahaja panggilan yang diberikan bukanlah permulaan ke arah gerakan itu kerana hal-hal berkaitan telah dibincangkan lebih awal.
“Ada orang kata bukan Langkah Dubai, Langkah Chow Kit saja. Pasal benda itu dibincang di Kuala Lumpur saja pun. Tak payah pergi Dubai. Saya rasa Dubai itu dummy saja. Dulu depa namakan Langkah Sheraton, (sebenarnya) bukan kerana Sheraton itu makan-makan saja. Benda itu berlaku sebelum itu lagi,” katanya.
Mengulas keyakinan PN terhadap peralihan yang didakwa akan berlaku itu, Muhammad Sanusi berkata, rakyat Malaysia tidak lagi mampu bertahan dengan tekanan yang dihadapi mereka ketika ini.
“Tak ada siapa yang bantah (untuk tukar kerajaan) yang gusar ini seorang dua nak hilang kuasa saja. Tapi rakyat menyambutnya dengan baik, mereka dah saksikan episod 22 bulan yang berulang setiap hari.
“Campur tangan kepada agama, perkara-perkara yang tidak patut, tekanan kepada pihak lain yang tidak sealiran berlaku dengan ganas dan lebih dahsyat daripada 22 bulan dahulu,” katanya. – UTUSAN