UMNO tidak bergantung pada KJ, Shahril untuk raih sokongan orang muda - Utusan Malaysia

UMNO tidak bergantung pada KJ, Shahril untuk raih sokongan orang muda

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) pada perasmian Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Tuminah Hamidi di Sungai Balai di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: UMNO memiliki ramai tokoh pemimpin muda yang mampu menarik minat pengundi muda dan tidak bergantung kepada pemimpin Pemuda terdahulu untuk meraih sokongan golongan tersebut.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menjelaskan parti itu memiliki pelan pengkaderan yang khusus bagi meramaikan bilangan pemimpin pelapis untuk memimpin pergerakan Pemuda selepas tamat tempoh ‘kepemudaan’ seseorang pemimpin itu.

Ujarnya, mungkin pihak luar tidak mengetahui mengenai pelan pengkaderan tersebut sehingga mendakwa parti itu kini ketandusan pemimpin muda.

“UMNO tidak kekurangan pemimpin muda, pemimpin datang dan pergi, jadi jangan hanya melihat pemimpin muda terdahulu sahaja yang boleh memimpin Pemuda dan orang muda.

“Kita lihat selepas orang yang kononnya paling kuat (pengaruh) memimpin Pemuda, dia sendiri tidak dapat undi daripada kumpulan orang muda pun,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Tuminah Hamidi di Sungai Balai, dekat sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan bekas Ahli Parlimen Bangi dari DAP, Dr. Ong Kian Ming, dalam Mingguan Malaysia hari ini bahawa UMNO ketandusan pemimpin muda selepas bekas Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dipecat dari parti manakala bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, digantung keahliannya.

Kian Ming dilaporkan berkata, walaupun UMNO cuba untuk mengembalikan reputasi dan menjadi berpengaruh menerusi pemimpin muda yang lain, usaha parti tersebut gagal termasuk Ketua Pemuda sekarang, Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, selepas Khairy Jamaluddin tidak mempertahankan jawatannya, kepimpinan Pemuda diambil alih oleh Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang memperlihatkan sokongan tokoh-tokoh generasi muda dalam UMNO.

“Sekarang, Dr. Muhamad Akmal adalah tokoh yang baik (bagi mengetuai pergerakan Pemuda UMNO), jika hendak membandingkan epal dengan epal.

“Selain Dr. Muhamad Akmal, Naib Ketua Pemuda iaitu YB Hairi Mad Shah juga adalah tokoh pemuda dari Johor, ramai lagi sebenarnya (pemimpin muda dalam UMNO),” ujar beliau.

Beliau menyifatkan pandangan Kian Ming itu sekadar pandangan orang yang berada di luar UMNO sedangkan pihaknya sentiasa menggarap pemimpin pelapis untuk memimpin generasi muda di kalangan ahli parti dan anak muda di luar parti. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya