UMNO Perlis gesa Sanusi, pimpinan PN henti sabotaj ekonomi negara - Utusan Malaysia

UMNO Perlis gesa Sanusi, pimpinan PN henti sabotaj ekonomi negara

ROZABIL ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dan pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu menghentikan tindakan sabotaj ke atas ekonomi negara dengan berulang kali mencetuskan polemik menumbangkan kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman berkata, kenyataan berulang-ulang oleh pihak terlibat untuk menjatuhkan kerajaan adalah satu perlakuan jenayah serius dan mengganggu ketenteraman masyarakat.

Katanya, implikasi lebih besar bakal dihadapi adalah negara akan kehilangan keyakinan pelabur untuk masuk disebalik pelbagai usaha pemulihan ekonomi dan nilai mata wang sedang digerakkan oleh kerajaan.

“Di suatu masa, pimpinan PN bercakap tentang pentingnya kerajaan menggandakan usaha pemulihan ekonomi namun di masa lain mereka melakukan tindakan-tindakan yang jelas menjurus kepada sabotaj ekonomi negara.

“Ini adalah agar kerajaan Perpaduan dilihat tidak efektif dalam mengendalikan proses pemulihan ekonomi negara,” katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Muhammad Sanusi yang berkeyakinan kerajaan Perpaduan akan tumbang sebelum berakhir penggal kali ini dan mendakwa mengetahui bila perkara itu bakal berlaku namun enggan mendedahkannya.

Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengesahkan menerima laporan risikan berkaitan isu berkenaan namun beliau menegaskan ia tidak memberi kesan sebaliknya kerajaan Perpaduan kekal dengan sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga turut menyifatkan ‘Langkah Dubai’ tidak memberi kesan kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan yang kekal fokus menerajui agenda pembangunan, kesejahteraan rakyat dan negara.

Dalam pada itu, Rozabil berkata, tindakan sabotaj ekonomi oleh pihak terlibat akan memberi kesan negatif yang berterusan kepada nilai mata wang dan risiko peningkatan kadar inflasi lalu memberi tekanan terhadap kuasa beli rakyat.

“Ringkasnya, segala tindak-tanduk pimpinan PN dalam perkara ini amat tidak bertanggungjawab dan membawa tekanan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Berikutan itu, Rozabil berkata, UMNO Perlis menggesa agar segala kenyataan umum berkaitan isu ini dapat dihentikan malah kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas sekiranya perkara ini berterusan.

Tambahnya, pimpinan PN boleh merujuk terus kepada Yang Dipertuan Agong dan institusi Parlimen negara secara tertutup sekiranya mereka benar-benar mempunyai jumlah mencukupi untuk membentuk sebuah kerajaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya