Ugut kosongkan kerusi, kami tidak langgar perlembagaan Bersatu

Ugut kosongkan kerusi, kami tidak langgar perlembagaan-Suhaili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Biarpun perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diubah namun, pimpinan parti tidak boleh meminta ahli Parlimennya mengosongkan kerusi.

Keputusan mengosongkan kerusi hanya boleh ditentukan oleh Speaker Dewan Rakyat dan mahkamah maka, selagi tiada perintah mengosongkan kerusi diberikan, pihak lain tidak boleh mengarahkan kerusi itu dikosongkan.

Itu pandangan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengenai kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai keputusan Bersatu untuk meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat Bersatu yang mengkhianati parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suhaili berkata, pimpinan parti telah pun mengambil tindakan terhadap ahli Parlimennya yang menyokong pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mengantung keahlian mereka.

“Kita sudah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, mereka (Bersatu) sudah ambil tindakan mengantung keahlian kami daripada parti. Saya sendiri digantung keahlian selama enam tahun.

“Mereka boleh ugut kami untuk mengosongkan kerusi tapi, keputusan itu tertakluk kepada Speaker Dewan Rakyat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan mahkamah.

“Jadi, selagi tiada arahan mengosongkan kerusi daripada mana-mana badan tersebut maka, kami akan kekal sebagai wakil rakyat Bersatu,” katanya.

Menurutnya, setakat ini beliau tidak menerima sebarang surat arahan untuk mengosongkan kerusi daripada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut katanya, pimpinan parti boleh memohon agar kerusi wakil rakyatnya dikosongkan tapi, berdasarkan perlembagaan ia tidak boleh dikosongkan kerana tidak melanggar Akta Anti Lompat Parti.

Suhaili berkata, mereka hanya mengisytiharkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim demi mendapatkan peruntukan untuk membantu rakyat di kawasan Parlimen dan bukannya melompat parti.

Jelas beliau, terserah kepada Bersatu jika ingin meminda perlembagaan parti untuk menghalang wakil rakyatnya supaya tidak mengambil keputusan bertentangan dengan pendirian parti.

Namun, pada masa ini, wakil rakyat Bersatu berhak untuk membuat keputusan sendiri dalam menentukan sokongan biarpun ia bertentangan dengan pendirian parti yang kini berada dalam blok pembangkang.

Semalam, Hamzah memaklumkan bahawa Bersatu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana wakil rakyat yang mengkhianati parti. Ia termasuk mengarahkan mereka mengosongkan kerusi diwakili bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan.

Susulan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang pada masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya