MASJID Al-Busyra Pekan Merbok, Kedah, didirikan atas konsep one stop centre.
Atas alasan itulah ia menjadi lokasi persinggahan dan pertemuan untuk pelbagai tujuan selari saranan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) untuk menjadi masjid mesra musafir.
Pengerusinya, Firdaus Firabib berkata, sejak diberi tanggungjawab ke atas masjid berkenaan pada 2018, beliau melakukan kerja menaik taraf masjid yang sudah berusia lebih separuh abad itu.
Transformasi dilakukan ke atas masjid lama yang dibina pada 1972 itu memberikan sentuhan moden dan nafas baharu, sesuai dengan peredaran semasa.
Antaranya di bahagian ruang solatnya dengan menambah hiasan seni reka masjid.
Malah binaan tandas dan food court juga berkonsepkan ala hentian rehat dan rawat (R&R).
“Tandas masjid dihasilkan dengan mesra musafir berkonsep terbuka atau tanpa pagar bertujuan mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
“Sesiapa sahaja boleh datang dan singgah pada bila-bila masa dan memanfaatkan segala kemudahan yang ada,” katanya.
Kerja ubah suai bermula sejak 2018 membabitkan anggaran kos RM3 juta.
Kemudahan lain ialah perpustakaan mini selain kemudahan tempat letak kereta yang luas dan selesa.
Lantaran konsep mesra pengguna dan terbuka, pasti aspek keselamatan menjadi antara isu kegusaran ramai.
Bagaimanapun Firdaus berkata, aspek keselamatan terjamin kerana masjid berkenaan dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan dikawal pengawal keselamatan.
“Kami mementingkan aspek keselamatan, lantaran itu, tiada masalah ia dibuka selama 24 jam bagi memudahkan pengunjung beribadah,” katanya yang menjelaskan masjid berkenaan sentiasa dikunjungi pengunjung dalam dan luar daerah lantaran kemudahan disediakan di situ.
Tarikan lain tersedia ialah air telaga wakaf, perkhidmatan mencuci kereta, kedai gunting rambut, Barista Cafe dan kedai serbaneka, Al-Busyra Mart yang menjual barangan keperluan harian.
Dengan pelbagai kemudahan disediakan, tidak hairanlah apabila masjid ini mendapat pengiktirafan sebagai Masjid Terbaik Kategori Luar Bandar 2022 dan Anugerah Tandas Awam Terbaik ASEAN peringkat kebangsaan 2023 hingga 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
IMAM PEMPENGARUH
Menggalakkan orang ramai ke masjid dan melakukan kebaikan, Firdaus turut menyertai kelompok media sosial dengan bergiat sebagai pempengaruh media sosial.
Sambil mengenakan jubah dan berkopiah, beliau tampil bersahaja bercerita dalam loghat Kedah tentang setiap kemudahan masjid Al-Busyra.
“Saya aktif sebagai TikTokers pada 2018. Banyak kandungan dimuat naik menceritakan kemudahan masjid, fasiliti dan program terkini masjid,” katanya.
Kandungan dimuat naik pernah mendapat jutaan tontonan sekali gus menjadikan ia konten popular.