KUALA LUMPUR: Prosiding tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis terhadap empat anaknya dan ibu mentuanya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, enam tahun lalu masih belum nampak bayang penyelesaiannya.
Pada Oktober 2018, Puan Sri Kalsom Ismail memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia dan Makkah serta beberapa syarikat pada Oktober 2018 dengan menamakan empat anak dan ibu mentuanya sebagai defendan.
Mereka yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga kelima ialah empat anak Kalsom iaitu Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa dan Noor Adilla serta ibu mentuanya, Aminah Abdullah.
Pada sebutan tuntutan berkenaan hari ini, Hakim Syarie, Abdul Shukor Abd. Hamid dimaklumkan bahawa prosiding tersebut terpaksa ditangguhkan rentetan perintah Mahkamah Rayuan Syariah bertarikh 24 November 2023.
Pada tarikh tersebut, Mahkamah Rayuan Syariah memerintahkan agar prosiding membabitkan tuntutan tersebut ditangguhkan sehingga semakan terhadap perintah yang mengarahkan tuntutan harta sepencarian itu dibicarakan diputuskan.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh peguam syarie, Nur Hidayah A. Bakar yang mewakili Aminah ketika ditemui media selepas tamat prosiding yang dijalankan secara tertutup hari ini.
Tambah peguam terbabit, mahkamah kemudian menetapkan 14 Mac ini untuk sebutan bagi status semakan tersebut.
Pada 1 November 2022, Mahkamah Tinggi Syariah diberitahu, kes tuntutan harta sepencarian berjumlah RM2 bilion itu mungkin akan diselesaikan tanpa melalui perbicaraan.
Dr. Kalsom memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Mekah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya sebagai defendan.
Pada 28 Ogos 2022, mahkamah membenarkan permohonan Dr. Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.
Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.
Pada 4 April 2015, Allahyarham Jamaludin yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke ibu negara terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier; Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias; ahli perniagaan, Datuk Tan Huat Seang; pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. – UTUSAN