KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan ahli keluarganya memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) menyiasat dan membekukan semua aset mereka.
Selain Daim atau nama penuhnya, Che Abdul Daim Zainuddin turut disenaraikan sebagai pemohon ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid; empat anak mereka, Asnida, Md. Wira Dani, Muhammed Amir dan Muhammed Amin Zainuddin serta syarikat, Menara Ilham Sdn. Bhd. yang memiliki bangunan terbabit.
Permohonan tersebut difailkan semalam (10 Januari) di Mahkamah Tinggi di sini melalui firma guaman, Tetuan Tommy Thomas dan menamakan SPRM dan Pendakwa Raya sebagai defendan pertama dan kedua.
Mahkamah menetapkan 16 Januari ini untuk pendengaran mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman tersebut.
Menurut penyataan yang difailkan oleh Daim, SPRM dan pegawainya telah memulakan siasatan terhadapnya dan keluarganya bermula Februari 2023 dan pelbagai notis mengikut Akta SPRM dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) telah dikeluarkan terhadap bekas menteri itu dan keluarganya bermula Jun 2023.
Bagaimanapun, hanya pada 30 Disember 2023, SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM telah membuka siasatan terdapat Daim berdasarkan Kertas Pandora.
Kertas Pandora merupakan himpunan 11.9 juta dokumen yang dikumpul oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (International Consortium of Investigative Journalists, ICIJ) yang mengandungi maklumat perbankan, cukai dan maklumat hartanah membabitkan pemimpin-pemimpin dunia, jutawan, ahli perniagaan dan selebriti.
“Fail tersebut sendiri tidak menyatakan sebarang kesalahan oleh Daim dan keluarganya. Walaupun rakyat Malaysia lain disenaraikan dalam Kertas Pandora, mereka tidak disiasat atau diberi Notis oleh SPRM, atau menjalani siasatan dan tindakan diambil terhadap mereka oleh SPRM sebagaimana dilakukan terhadap Daim dan keluarganya.
“Dalam apa jua keadaan, mengambil kira kelewatan kira-kira 22 tahun, penyiasatan tersebut melanggar kebebasan peribadi Daim dan ahli keluarganya sekali gus melanggar hak asasi mereka dalam Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, ia (siasatan dan pembekuan dilakukan) tidak berperlembagaan dan tidak sah,” ujar kenyataan tersebut.
Tambahnya, siasatan SPRM terhadap Daim dan keluarganya adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires (melangkaui undang-undang) kerana agensi siasatan itu tidak mempunyai sebab munasabah bahawa ahli perniagaan itu dan keluarga telah melakukan sebarang kesalahan di bawah Akta SPRM atau AMLA.
Selain itu, Daim dalam pernyataan tersebut menyatakan, sekiranya pihak pendakwaan ingin menuduh bekas Bendahari UMNO itu atau ahli keluarganya, pertuduhan tersebut akan terbatal kerana melanggar jaminan perbicaraan adil sebagaimana yang diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Bekas Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) itu juga menyatakan SPRM dan pegawai-pegawainya telah bertindak tidak munasabah dan tidak rasional apabila gagal mengambil kira beberapa perkara.
Antaranya ialah bukan menjadi kesalahan untuk mana-mana rakyat Malaysia untuk membuka akaun luar pesisir dan memiliki aset atau hartanah di luar negara.
“Pemilikan aset dan hartanah di luar bidang kuasa oleh warganegara Malaysia bukanlah satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.
“Undang-undang Malaysia (juga) tidak termasuk dalam Akta Kekayaan Tidak Dijelaskan (Unexplained Wealth Act) sebagaimana yang terdapat di beberapa negara luar. Oleh itu, pemerolehan kekayaan semata-mata oleh mana-mana warganegara Malaysia tidak merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang Malaysia,” kata pernyataan itu.
Oleh itu, Daim dan keluarganya memohon relif antaranya satu deklarasi bahawa SPRM dan pegawainya tidak mempunyai sebab munasabah untuk menyiasat kesemua pemohon mengikut Akta SPRM atau AMLA.
Mereka turut memohon deklarasi bahawa semua notis yang dikeluarkan oleh SPRM ke atas Daim dan keluarganya termasuk Menara Ilham adalah menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah.
Kesemua pemohon juga menuntut agar kesemua siasatan terhadap mereka dihentikan, memulangkan semula semua dokumen dan aset yang disita dan menyahbeku akaun-akaun bank termasuk akaun bank syarikat.
Daim dan keluarganya turut memohon satu perintah yang melarang pihak pendakwaan daripada mendakwa mereka di mahkamah.
Turut dimohon ialah ganti rugi am dan teladan, kos atas dasar indemniti penuh kepada pemohon-pemohon dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – UTUSAN