KEMAMAN: Seorang tukang rumah cedera di kepala dan bahu selepas dipukul dengan kayu dalam kejadian samun di Kampung Geliga Besar, di sini, kira-kira pukul 5 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, ketika kejadian, mangsa yang sedang bertukang tiba-tiba didatangi empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal jenis Honda EX5.
“Salah seorang suspek telah meminta wang daripada mangsa sebanyak RM1,000. Namun, apabila mangsa enggan memberi wang yang diminta, suspek telah bertindak memukul mangsa.
“Mangsa mendakwa dipukul di bahagian kepala sebelah kanan dan bahu sebelah kanan menggunakan kayu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Hanyan berkata, salah seorang daripada suspek kemudiannya telah merampas bag silang milik mangsa dan mengambil wang tunai sebanyak RM470 serta sebuah telefon bimbit sebelum melarikan diri.
“Susulan kejadian itu, kita telah berjaya menahan dua remaja berusia 16 tahun kira-kira pukul 10 malam tadi untuk membantu siasatan manakala dua lagi suspek sedang diburu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya. – UTUSAN