KUALA SELANGOR: Cadangan penubuhan Universiti Al-Quran yang didakwa dilakukan sejak 15 tahun lalu digesa untuk direalisasikan untuk meningkatkan imej Malaysia sebagai hab pendidikan al-Quran yang menjadi tumpuan negara-negara Islam.
Presiden Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran (Permata Al-Quran) Malaysia, Manolito Mohd. Dahlan berkata, pertubuhannya bersama gabungan persatuan al-Quran di seluruh negara merayu ia ditubuhkan kerana dapat memberi peluang pembelajaran di peringkat lebih tinggi bagi lebih 400,000 pelajar di 4,527 buah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah menengah agama kerajaan.
“Selain peluang kepada pelajar tahfiz, ia juga mampu memberikan kesan positif kepada peluang pekerjaan dan galakan pelancongan pendidikan (edutourism). Universiti itu nanti boleh memberi peluang pendidikan yang lebih tinggi dalam bidang al-Quran.
“Malah, ia juga dapat melahirkan ahlul Quran (ulama-ulama al-Quran) bertaraf dunia serta penghafal-penghafal al-Quran yang muttaqin, berketrampilan, berwibawa serta berilmu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Tambahnya, pihaknya bersedia memberikan komitmen serta kerjasama untuk mengumpul pakar di dalam dan luar negara, merangka dasar dan falsafah dan arah tuju sehinggalah membantu perjalanan penuh pusat pengajian ilmu al-Quran itu ke tahap kecemerlangan bertaraf dunia.
Jelas Manolito, cadangan penubuhan universiti tersebut digerakkan sejak 15 tahun lalu membabitkan penubuhan pasukan pemikir, pengkaji dan penggubal kertas kerja konsep Universiti Al-Quran melibatkan tokoh-tokoh organisasi dan pihak berkuasa agama seperti jabatan agama Islam negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jawatankuasa Akreditasi Tahfiz Malaysia serta ahli-ahli akademik.
“Beberapa siri pembentangan hasrat juga dibuat kepada Menteri Hal Ehwal Agama bermula daripada Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa, Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri, Datuk Idris Ahmad dan kini Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.
“Usaha pembentangan usul dan cadangan di peringkat nasional dilakukan oleh Zulkifli di Dewan Rakyat. Malah pernah juga di buat pembentangan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” ujarnya.
Katanya lagi, selain itu, inisiatif tersebut juga pernah disebut oleh Anwar semasa kempen pilihan raya negeri Kelantan pada bulan Ogos 2023. – UTUSAN