KUALA LUMPUR: Pembabitan pelakon, Fathia Latiff dalam Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024 bermula 29 Mac ini bukan sebagai pelan promosi acara tahunan tersebut.
Penganjur Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024, Ben Ali berkata, pelakon itu sudah tiga kali bekerjasama dan menyertai acara tersebut malah mereka juga sudah bersahabat lama.
“Fathia adalah kawan baik saya. Kami dah berkawan agak lama. Ini juga tahun ketiga sejak 2022 dia menyertai acara ini. Jadib tiada isu saya gunakan nama dia untuk promosi.
“Saya tolak tepi kontroversi atau isu sensasi melibatkan namanya. Saya tetap undang dia ke festival ini atas dasar persahabatan dan perniagaan sahaja.
“Apa yang berlaku adalah masalah peribadi dia. Tidak ada kena mengena dengan festival ini. Kami menyokong semua artis yang mahu berniaga, Tiada niat nak guna nama sesiapa untuk marketing,” ujarnya.
Ben ditemui pada majlis sidang media Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2024 yang diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ben yang juga seorang pelakon akan memastikan tahap keselamatan semua pihak terjamin supaya acara itu berlansung dalam keadaan terkawal.
“Kalau ada dalam kalangan artis yang bermasam muka, saya percaya mereka akan bersikap profesional. Namun jika ada pengunjung yang tak selesa dengan artis itu, perkara itu di luar kawalan saya.
“Apa pun di pihak Absolut Bazaar kami akan menyediakan tahap keselamatan yang terbaik untuk mengelak daripada sebarang kemungkinan yang akan berlaku,” katanya.