SHAH ALAM: Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan kerjasama Kolej Pengajian Kejuruteraan (KPK) mengumumkan satu syarahan disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, Profesor Dr. Norazah Abdul Rahman esok.
Beliau yang akan menyampaikan syarahan bertajuk Proses Inovasi Kimia: Membuka Jalan Ke Arah Pengkomersialan.
Menurut Norazah, syarahan ini menjadi satu acara bersejarah kerana beliau akan berkongsi kepakaran dan pandangannya dalam bidang kejuruteraan kimia, penyelidikan dan inovasi.
“Syarahan ini bermakna kerana ia tidak hanya mengiktiraf pencapaian akademik saya, tetapi juga memberi peluang kepada komuniti akademik, profesional daripada industri dan orang awam untuk mendapatkan pandangan berharga berkaitan penyelidikan baharu” katanya.
Norazah merupakan bekas penuntut Universiti Minnesota, yang telah menghasilkan lebih daripada 50 projek penyelidikan dengan kerjasama pelbagai sektor.
Tambahnya, beliau telah pun menerbit lebih 170 artikel dan menerima pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa atas sumbangannya dalam bidang tersebut.
“Saya juga pernah menjadi Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan kini sebagai Timbalan Naib Canselor dalam Penyelidikan dan Inovasi serta dalam masa yang sama, memajukan kecemerlangan akademik dan merangsang inovasi” katanya.
Syarahan ini akan diadakan di Dewan Sri Impian, Hotel UiTM Shah Alam pada pukul 2.30 petang. –UTUSAN.