KANGAR: Kerajaan negeri kecewa apabila tiada sebarang maklum balas diterima berhubung
peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan khususnya sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing juga tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan kerajaan negeri untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai perkara tersebut sebelum ini.
Katanya, kerajaan negeri memohon peruntukan berjumlah RM4 juta bagi menaik taraf lapan lokasi pelancongan di Perlis untuk memberi keselesaan buat pengunjung sempena TMPs.
“Contohnya seperti laluan masuk ke Superfruits Valley kerana bas tidak dapat akses ke kawasan berkenaan jadi ia menyukarkan pengunjung untuk masuk ke sana dan kerana itulah juga kita perlukan peruntukan ini.
“Jumlah RM4 juta yang kita minta itu juga adalah berdasarkan had ditetapkan MOTAC di mana satu lokasi pelancongan itu kita mohon sekitar RM250,000 untuk menaik taraf infrastruktur dan prasarana. Kalau tidak mahu jumpa tidak mengapalah, tapi salurkan lah peruntukan dengan segera,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, disebalik pelancongan Perlis yang sedang melonjak naik dan menjadi tumpuan pelancong namun kerajaan negeri masih belum menerima sebarang peruntukan daripada MOTAC khususnya sempena pelaksanaan TMPs 2024/2025.
Malah, mengikut data, lebih 3.2 juta kemasukan pelancong ke negeri ini direkodkan dari Januari sehingga Oktober 2023.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, pihaknya tidak pasti sama ada wujud unsur-unsur politik dalam perkara itu, namun berharap agar semua pihak dapat mengenepikan sebarang tindakan sedemikian.
“Perak dan Melaka turut menganjurkan tahun melawat di negeri masing-masing dan telah menerima peruntukan MOTAC namun Perlis masih tiada maklum balas sehingga kini.
“Sepatutnya tahun lepas lagi depa (mereka) bagi peruntukan itu, tapi bila tak ada maklum balas apa-apa, kita (kerajaan negeri) pun kecewa juga. Kita pun tak pasti ada unsur politik atau tidak, namun berharap ia bukan alasan kerana negeri-negeri yang menganjurkan tahun melawat sepatutnya menerima peruntukan itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shukri berkata, Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan sebelum ini juga telah berjanji akan menambah peruntukan bagi penganjuran Pesta Angin Timur di Perlis.
Tambahnya, tempoh penganjuran Pesta Angin Timur juga berkemungkinan dapat dilanjutkan dari tiga hari kepada lima hari sekiranya peruntukan itu dapat disalurkan kepada kerajaan negeri.-UTUSAN