TMPs: Peniaga diingatkan tidak ambil kesempatan - Utusan Malaysia

TMPs: Peniaga diingatkan tidak ambil kesempatan

RAZALI Saad (empat dari kiri) turun padang bertemu pengunjung sewaktu Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) di terminal feri Kuala Perlis, semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri memberi peringatan kepada seluruh peniaga agar tidak mengambil kesempatan bagi menaikkan harga barangan khususnya makanan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Selain peniaga makanan dan barangan, pengusaha mempelam harumanis juga turut diingatkan tidak melakukan tindakan sedemikian menjelang musim buah tersebut sekitar bulan Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Kos Sara Hidup negeri, Razali Saad berkata, para peniaga disaran supaya dapat menetapkan kadar yang munasabah dan sentiasa mempamerkan tanda harga bagi menggelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Ini adalah sebagai peringatan kepada pihak terlibat agar tidak mengambil kesempatan sesuka hati dengan menaikkan harga barangan mereka bersempena TMPs ini.

“Selain itu, aspek kebersihan premis juga perlu dititik-beratkan bagi menggelakkan rungutan dalam kalangan pelancong,” katanya selepas ditemui pada Program Sambutan Pelancong Sempena Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs) di terminal Kuala Perlis di sini semalam.

Mengulas lanjut, Razali berkata, agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan lain-lain akan sentiasa menjalankan pemantauan bagi memastikan tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan sepanjang TMPs ini.

“Sekiranya kita menerima rungutan, tindakan akan diambil kepada pihak terlibat oleh agensi-agensi berkaitan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Razali berkata, kerajaan negeri turut mengharapkan agar seluruh peniaga dapat berkomunikasi dengan berhemah bersama pelanggan dan menjaga tutur kata masing-masing.

Ujarnya, setiap penduduk di negeri ini perlu memainkan peranan dalam memastikan penganjuran TMPs mencapai objektif yang dikehendaki.

“Setiap daripada kita ini sebenarnya membawa imej negeri dan sekiranya layanan baik diberikan maka ia akan memberi limpahan ekonomi buat semua,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya