TLDM mendepani 2024 secara proaktif untuk kekal positif

TLDM mendepani 2024 secara proaktif untuk kekal positif

ABDUL Rahman Ayob (tengah) bersama pegawai kanan TLDM dan penerima pangkat PSSTLDM pada Majlis Pemakaian Pangkat di Wisma Pertahanan Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERLALU sukar untuk memastikan kedaulatan negara kekal terpelihara tanpa adanya aset dan anggota yang ampuh terutama dalam menjaga perairan negara daripada sebarang ancaman.

Justeru dalam mendepani tahun 2024 yang penuh cabaran,Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyusun strategi dengan langkah yang lebih proaktif demi pencapaian terbaik.

Malah Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, Empat Teras dan Tiga Keutamaan yang diangkat sejak tahun lalu akan terus diberi fokus demi meningkatkan tahap kesiagaan aset dan armada TLDM selaras dengan aspirasi tahun ini.

Abdul Rahman Ayob ketika menyampaikan Perutusan Panglima Tentera Laut (PTL) 2024 di Kementerian Pertahanan, semalam

“Jika dilihat kepada tema TLDM itu sendiri iaitu ‘TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara’, ia jelas menunjukkan hanya dengan tahap kesiagaan yang tertinggi TLDM akan mampu melunaskan amanah yang dipikul di bahunya sebagai perisai utama kedaulatan perairan negara dengan sempurna.

“Oleh itu, sokongan dan kerjasama yang jitu dari segenap lapisan warga the Navy People amat diperlukan demi memastikan TLDM dapat mencapai visi yang telah digariskan iaitu untuk menjadi sebuah angkatan laut yang berwibawa,” katanya dalam Perutusan Panglima Tentera Laut (PTL) 2024 di Kementerian Pertahanan, semalam.

Empat teras yang dinyatakan sebelum ini ialah Terus Memberi Keutamaan Kepada Kesiagaan Armada; Meneruskan Pelan Transformasi TLDM 15to5 Yang Diubah Suai; Mengukuhkan Integrasi Dan Sokongan Kepada Aspek Kebersamaan Atau Jointness dan Mempergiatkan Proses Menyediakan Sumber Manusia Terbaik Untuk Memenuhi Keperluan Masa Hadapan.

Tiga keutamaan yang digariskan untuk mencapai empat teras berkenaan ialah Mempergiatkan Libat Urus Dengan Rakan Strategik Yang Berkaitan; Menambah Baik Proses Kerja Semasa Agar Lebih Relevan Dan Efisien dan Memperkasakan Etos dan Etika Ketenteraan.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, TLDM juga akan terus memacu usaha untuk meningkatkan keupayaan dan memperkasakan armadanya dengan perolehan beberapa aset baharu seperti kapal sokongan pelbagai peranan (MRSS).

“Keperluan MRSS ini amat penting terutamanya dalam memastikan keperluan operasi logistik TLDM dan Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) dalam negara mahupun negara serantau dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Saya yakin dan percaya, melalui perolehan aset baharu tersebut, TLDM semestinya mampu melaksanakan operasi dengan lebih efisien dan efektif,” jelasnya.
Sebagai rekod, TLDM telah diperuntukkan sebanyak RM1.676 bilion belanja mengurus (OE) berbanding RM1.6 bilion tahun lepas dengan peningkatan sebanyak RM75.14 juta.

ABDUL Rahman Ayob (kiri) menyempurnakan pemakaian pangkat Komander Kehormat PSSTLDM kepada Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed pada Majlis Pemakaian Pangkat di Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

Peningkatan ini dapat dilihat pada jumlah peruntukan Personnel Emolument yang meningkat sebanyak RM19.05 juta (1.89%), Non Personnnel Emolument yang meningkat sebanyak RM55.07 juta (9.25%) dan Program Khusus yang meningkat sebanyak RM1.02 juta (1.44%)

Di samping itu, TLDM turut diperuntukkan sebanyak RM70 juta bagi senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dan sebanyak RM 65 juta bagi material pertahanan.

TLDM juga menerima peruntukan tambahan di bawah Projek Khas Kementerian Kewangan iaitu sebanyak RM20 juta bertujuan untuk mengekalkan kesiagaan tertinggi dan RM10 juta diperuntukkan untuk penyelenggaraan kem dan bangunan teknikal Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jelas Abdul Rahman, peningkatan dalam peruntukan keseluruhan yang diterima oleh Aktiviti Pertahanan Maritim bagi tahun 2024 menunjukkan komitmen tinggi dan penghargaan kerajaan terhadap keupayaan dan kesiagaan TLDM amnya dan ATM khasnya demi memastikan kedaulatan negara terpelihara.

“Saya, bagi pihak TLDM, menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan dan Kementerian Pertahanan di atas peningkatan peruntukan ini.

“Pada masa yang sama, TLDM juga perlu berusaha untuk memastikan setiap perbelanjaan dilaksanakan dengan penuh berhemah bagi menentukan objektif perbelanjaan tercapai dengan cemerlang berdasarkan peraturan, prosedur dan tatacara kewangan yang ditetapkan,” jelasnya.

Abdul Rahman dalam masa yang sama turut mengingatkan semua warga TLDM terutama panglima-panglima dan pegawai-pegawai memerintah agar sentiasa mengambil langkah proaktif menghindari kecelakaan atau kecuaian yang mampu menjejaskan kesiagaan aset sehingga mendatangkan kerugian kepada kerajaan.

Tegas beliau, langkah ini merangkumi pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP); pelaksanaan latihan secara berterusan dan pelaksanaan Audit Tidak Terjangka (ATT) dari semasa ke semasa.

“Berdasarkan statistik, masalah disiplin atau tatatertib dalam kalangan warga TLDM merupakan salah satu cabaran dalam mendokong teras perkhidmatan iaitu bagi menyediakan sumber manusia terbaik.

“Malah apa yang membimbangkan, kes penyalahgunaan dadah dan Tidak Hadir Tanpa Cuti (THTC) merupakan antara kes disiplin tertinggi yang direkodkan setiap tahun.

“Suka saya ingatkan di sini bahawa TLDM tidak akan berkompromi dengan masalah sebegini dan tidak mempunyai ruang untuk warga yang bermasalah disiplin di dalam perkhidmatan,” katanya.

Selain itu, kata Abdul Rahman, TLDM juga sama sekali tidak akan berkompromi dalam usaha untuk memerangi salah laku seperti gejala buli, rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kerana kesalahan ini pastinya akan mencemarkan imej TLDM dan turut merugikan kerajaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN