PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan tiga remaja warga Myanmar dipercayai dieksploitasi sebagai buruh kasar di sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh di sini, semalam.
Difahamkan, ketiga-tiga remaja berusia 13 hingga 16 tahun itu turut dipaksa tinggal di dalam bilik kecil yang kotor disediakan majikan di premis tersebut.
Memberitahu Utusan Malaysia, sumber berkata, serbuan kira-kira 2.30 petang itu dijalankan Bahagian D3 (Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran – Atipsom) Jabatan Siasatan
Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Pejabat Strategik Nasional Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO Mapo).
Katanya, siasatan awal mendapati premis tersebut merupakan sebuah kilang kitar semula memproses barangan terpakai komponen elektronik.
“Siasatan lanjut mendapati kilang dipercayai telah beroperasi sejak setahun setengah lalu selain tidak mempunyai lesen perniagaan.
“Temu bual awal dijalankan dengan menggunakan penterjemah rakan senegara mendapati mangsa tidak dibenarkan keluar, serta bekerja lebih masa selama 12 jam setiap hari diarahkan bekerja bermula 9 pagi hingga 9 malam, enam hari seminggu,“ katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut sumber, turut ditahan seorang warga India berusia 28 tahun dipercayai pengurus kilang tersebut.
Selain itu, jelasnya, pihak polis turut menahan 10 lelaki warga asing terdiri daripada tiga warga India, lima Bangladesh dan dua lelaki Myanmar berusia antara 18 hingga 39 tahun.
“Pihak polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Bukit Aman, Deputi Komisioner Fadil Marsus ketika dihubungi mengesankan tangkapan tersebut.- UTUSAN