Tiga lepasan SPM, pemandu e-hailing didakwa rogol kanak-kanak

Tiga lepasan SPM, pemandu e-hailing didakwa rogol kanak-kanak

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan seorang lagi rakan mereka, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun, sehari sambutan Krismas lalu.

Tiga remaja berusia 19 tahun serta pemandu e-hailing, Muhammad Daniel Roszali, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd. Kafli Che Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol kanak-kanak perempuan itu di bilik sebuah rumah flat di Cheras di sini, di antara pukul 2 pagi dan 3.40 pagi, 24 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat bawah Sesyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Noorhani Muhmmed Ayub mencadangkan, keempat-empat lelaki itu tidak diberikan ikat jamin kerana kesalahan yang dipertuduhkan sangat serius terutama melibatkan kanak-kanak.

Bagaimanapun, peguam, Nasrul Hadi Mat Saad yang mewakili semua tertuduh, merayu agar mahkamah menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.

“Tiga pelajar lepasan SPM ini masih muda dan mereka menunggu tawaran untuk melanjutkan pelajaran.

“Mereka perlu diberi jaminan bagi mengelak daripada bergaul dengan tahanan di penjara sekali gus terdedah kepada unsur negatif,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Mohd. Kafli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan, tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN