KUALA TERENGGANU: Jabatan Perikanan Terengganu menahan tiga buah bot nelayan dari negeri jiran kira-kira enam batu nautika dari Pantai Merchang, Marang, dekat sini, pada pukul 1 pagi tadi.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat, berkata, turut ditahan 15 kru termasuk tiga tekong selepas menceroboh perairan Terengganu selain hasil tangkapan dan peralatan memancing dianggarkan RM3 juta.
Menurutnya, pihaknya terdahulu menerima aduan mengenai pencerobohan tersebut sebelum mendapati tiga buah bot nelayan sedang leka memukat dan menangkap ikan.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kesemua bot berkenaan milik warga tempatan namun dikendalikan warga Myanmar berusia 21 sehingga 50-an yang memiliki dokumen diri meragukan.
“Ketiga-tiga buah bot terbabit telah melakukan kesalahan dengan memukat di kawasan perairan bawah 12 batu nautika dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985.
“Hasil tangkapan akan dilelong manakala nelayan yang ditahan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, di sini, hari ini.
Ruzaidi menjelaskan, Akta Perikanan 1985 menetapkan 12 batu nautika sebagai zon eksklusif tangkapan untuk nelayan di Terengganu sahaja dan tidak boleh diceroboh nelayan lain.
Katanya lagi, aktiviti bot pukat tunda pula hanya dibenarkan kepada nelayan pada jarak 12 batu nautika ke atas.
“Sepanjang 2023 sahaja sebanyak 47 buah bot dengan satu daripadanya bot nelayan Vietnam telah ditahan atas kesalahan menceroboh perairan Terengganu menerusi 28 operasi bersama polis marin,” katanya. – UTUSAN