BAGAN DATUK: Tiga beranak berdepan detik cemas apabila disamun lima lelaki bertopeng bersenjatakan parang yang memecah masuk kediaman mereka di Sungai Pulau, Hutan Melintang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 4.14 pagi daripada seorang lelaki berusia 39 tahun.
Katanya, bertindak atas maklumat itu, anggota telah ke lokasi kejadian yang dihuni pengadu bersama bapa berusia 69 tahun dan ibu berusia 66 tahun untuk siasatan lanjut.
“Ketika kejadian, pengadu sedang menunaikan ibadah di dalam bilik sebelum datang lima lelaki memukul belakang badan mangsa menggunakan hulu parang.
“Suspek kemudian mengacukan parang ke leher mangsa dan mengikat kedua tangannya lalu membawa lelaki itu ke bilik ibu dan bapanya.
“Pasangan suami isteri itu yang sedang tidur ketika kejadian telah dikejutkan oleh suspek sebelum mereka bertindak mengikat tangan bapa mangsa menggunakan cebisan kain cadar,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, suspek menggeledah rumah mangsa dan berjaya melarikan barangan kemas, telefon bimbit, beg tangan, wang tunai serta dua buah motosikal dengan anggaran kerugian berjumlah RM39,500.
Katanya, sebelum melarikan diri, suspek telah mengugut mahu membunuh mangsa dan keluarganya sekiranya mereka membuat laporan polis.
“Kesemua mangsa yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
“Berdasarkan siasatan awal, lima suspek itu dipercayai lelaki warga asing dan ketika kejadian, kesemua mereka memakai pakaian gelap, memakai pelitup muka dan topi ‘baseball’,” ujar beliau.
Tambahnya, siasatan oleh Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak berjaya menimbulkan sembilan cap jari dan merampas barang milik suspek yang ditinggalkan di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurul Fa’eqa Razak di talian 017-4415342 atau 05-6299222,” katanya. – UTUSAN