PETALING JAYA: Keengganan segelintir pesawah menyertai Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) menjadi salah satu faktor program tersebut masih tidak mencapai matlamatnya.
Memberitahu Utusan Malaysia, Ketua Kluster Pertanian dan Sekuriti Pertanian Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Juraimi berkata, keadaan itu menyebabkan program berkenaan tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.
“Antaranya kerana sikap setengah petani yang tidak mahu terlibat, mungkin mereka rasa boleh buat sendiri dengan baik dan dapat hasil lebih tinggi tanpa bergantung kepada program ini,” katanya ketika dihubungi.
Mingguan Malaysia Ahad lalu melaporkan kenyataan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi mengenai Kadar Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras negara yang disasarkan 75 peratus menjelang 2025 sukar dicapai ekoran program yang dirancang tidak mencapai sasaran.
Namun Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan program SMART SBB di bawah kementerian itu tidak berkesan dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.
Abdul Shukor berkata, Program SMART SBB yang diperkenalkan pada Februari 2021 sepatutnya dapat menjadikan bendang lebih baik, teratur dan lebih ekonomi dengan hasil yang tinggi.
“Sebagai contoh, ada bendang yang hasil asal petani antara empat hingga lima tan per hektar meningkat kepada enam hingga tujuh tan per hektar melalui program ini.
“Di Perlis, ada yang hasil asal tujuh tan per hektar menjadi lebih 10 tan per hektar dan petani juga boleh menjadi pekerja kepada syarikat tersebut selain mendapat hasil daripada syarikat,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain pula berkata, kerajaan perlu segera memikirkan cara lain untuk mencapai sasaran SSL beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 seperti yang ditetapkan sebelum ini.
“Kebanyakan petani percaya jumlah hasil dapat ditingkatkan walaupun tanpa pelaksanaan program tersebut dengan syarat sistem saliran yang cekap, benih padi diedar mengikut jadual,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, isu kelewatan mengagihkan benih kepada pesawah di Kedah dan Perlis di bawah MADA yang semuanya berkeluasan 100,000 hektar bukan perkara baharu.
Namun katanya, masalah tersebut sudah berlarutan sejak sekian lama tanpa penyelesaian yang turut memberi kesan kepada pelaksanaan tanaman padi lima kali dua tahun.
“Maka, perkara-perkara asas yang menganggu kelancaran penanamam padi perlu diatasi segera kerana apa sahaja program yang berhasrat untuk meningkatkan produktiviti tidak berupaya dilakukan selagi ada kekangan ini,” katanya. – UTUSAN