ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berpendapat seseorang boleh mengubah diri mereka ke arah yang lebih baik pada setiap masa setelah mengenal pasti keburukan yang mungkin ada dalam diri masing-masing.
Beliau berkata, dari hari ke hari mana-mana individu seharusnya menilai diri mereka untuk beramal dengan kebaikan dan menjauhi segala keburukan.
“Sempena Tahun Baharu 2024, saya ingin mengingatkan diri saya di samping mengajak semua untuk bermuhasabah diri, kenal pasti apa yang baik dan yang buruk ada pada diri kita.
“Setelah itu, sama-samalah kita memperbaiki diri kita untuk menjadi insan yang lebih baik. Sesungguhnya untuk berubah ke arah kebaikan, tidak perlulah untuk kita tunggu masuk tahun baharu,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu 2024 di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi menjangkakan, tahun 2024 dijangka tahun yang sukar untuk semua antaranya disebabkan perang Rusia – Ukraine yang masih belum berakhir, hampir pasti akan terus menghimpit warga dunia dengan tekanan ekonomi.
“Harga barang akan terus melambung. Pembantaian rejim Zionis ke atas Palestin pula dijangka meningkatkan ketegangan di peringkat dunia, malah memungkinkan situasi yang lebih buruk.
“Jangkitan Covid-19 yang muncul semula juga sudah tentu kembali meresahkan kita semua. Justeru, beringatlah jangan sampai kita terpaksa berkurung seperti ketika pandemik yang menyebabkan seluruh kehidupan kita lumpuh,” katanya.
Mengambil iktibar daripada pesan Nabi SAW, Muhammad Sanusi turut mengingatkan rakyat Kedah khususnya untuk berazam menjadi seorang yang lebih baik demi kesejahteraan di dunia dan akhirat.
“Hargailah nilai dan makna kita diberikan kehidupan oleh Allah SWT dengan martabat sebagai insan, bukannya seperti hidupan yang lain,” ujarnya. –UTUSAN