GEORGE TOWN: Tiada permohonan rasmi daripada mana-mana pihak kepada kerajaan negeri untuk diberikan rebat tarif air kepada pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air berjadual pada 10 hingga 14 Januari lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini kerajaan negeri mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung perkara tersebut.
”Tiada permohonan rasmi diterima (rebat tarif air), kita tunggu dan lihat,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan biasiswa daripada Ancom Crop Care. Sdn. Bhd. kepada para pelajar terpilih di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang, Oh Tong Keong menggesa kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memberi rebat bil air sekurang-kurangnya 50 peratus kepada pengguna air yang terkesan.
Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula pukul 6 pagi pada Rabu lalu, namun sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) menerima semula bekalan air selepas 48 jam.
Menurut Kon Yeow, pihaknya berharap rakyat Pulau Pinang dapat menghargai air dengan lebih baik selepas berdepan dengan gangguan bekalan air berjadual itu.
“Selepas pengalaman ini saya harap rakyat Pulau Pinang dan negara ini dapat menghargai air dengan lebih baik, tanpa air kehidupan tidak akan jadi mudah.
”Kita sering berikan kesedaran (hargai air), namun kempen ini tidak berjalan lancar di Pulau Pinang, tarif air kita rendah, orang Pulau Pinang secara rela mahu membayar wang tambahan untuk menggunakan air yang lebih,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai saranan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago supaya Pulau Pinang menggunakan air sisa yang dirawat, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, perkara itu sedang dalam perbincangan lanjut dengan pihak-pihak berkaitan.
”Memang kita sudah memeterai perjanjian persefahaman dengan
Indah Water Konsortium (IWK) untuk meneroka air kitar semula IWK bagi digunakan semula oleh sektor kilang.
“Ini masih dalam perbincangan lanjut, pentingnya kita perlu ada pengguna iaitu kilang-kilang yang sanggup membeli air yang dikitar semula itu khususnya untuk operasi kilang,” katanya. – UTUSAN