Tiada pengusiran paksa terhadap peneroka tanah kerajaan - Utusan Malaysia

Tiada pengusiran paksa terhadap peneroka tanah kerajaan

SAARANI Mohamad (kanan) mendengar aduan rakyat pada program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiada pengusiran secara paksa terhadap peneroka tanah milik kerajaan di kawasan mukim Pasir Panjang Ulu, daerah Perak Tengah dan Kampung Gajah seperti yang didakwa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pihaknya sentiasa komited mengambil pendekatan berhemah dalam menyelesaikan isu pengusaha tanpa kebenaran yang melakukan aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan di atas tanah kerajaan atau tanah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

“Dakwaan berlaku penganiayaan dan pengusiran secara paksa adalah tidak benar. Ini memandangkan pihak Menteri Besar Incorporated Perak (MB Inc.) telah mengadakan beberapa siri rundingan secara langsung bersama pengusaha-pengusaha tersebut sejak tahun 2021 lagi.

“MB Inc. juga telah menawarkan ex-gratia dengan kadar munasabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri siri pertama Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Kerajaan Negeri Perak untuk tahun 2024 di sini hari ini.

Baru-baru ini dilaporkan lebih 100 peneroka tanah bekas lombong bijih timah di kawasan tersebut membantah tindakan kerajaan negeri yang membenarkan penerokaan untuk aktiviti perlombongan baharu.

Mereka mendakwa, selepas perlombongan bijih timah dihentikan pada tahun 1984 kerana kejatuhan nilai, penduduk kampung meneroka kawasan itu untuk pertanian sawit serta dalam masa sama membuat permohonan pemilikan geran kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, situasi itu menyamai isu penerokaan tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Chemor dan Khantan yang mengusahakan pertanian tanpa kebenaran yang tidak membawa apa-apa sumbangan kepada kerajaan.

Beliau menjelaskan, sekalipun begitu pihak kerajaan negeri tetap bertindak secara berhemah terhadap peneroka terbabit termasuk pemberian bayaran atau menawarkan tanah yang lain untuk diusahakan.

Difahamkan, peneroka di kawasan Kampung Gajah itu menuntut pampasan mencecah sehingga RM100,000 bagi setiap ekar manakala MB Inc. menawarkan RM2,000 setiap ekar.

Saarani berharap tidak ada pihak akan mengambil kesempatan terhadap isu berkenaan kerana kerajaan negeri bertindak mengikut undang-undang.

Beliau juga berkata, Islam sendiri tidak membenarkan usaha dibuat atas hak orang lain kerana hukum daripada hasil yang diraih itu mesti diambil kira dari segi halal haram.

“Operasi pembersihan Fasa 1 dilakukan pada 29 Disember 2023 lalu, melibatkan sebahagian kecil kawasan tanaman sawit seluas 8.09 hektar daripada keseluruhan tanah pajakan melombong MB Inc. berkeluasan 324.15 hektar.

“Operasi ini dilakukan kerana kawasan terbabit akan dibangunkan sebagai projek perlombongan bijih timah yang dipercayai masih mempunyai potensi mineral yang boleh diterokai sekaligus dapat menjadi hasil baharu yang menyumbang kepada kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya