KOTA KINABALU: UMNO bersama rakan-rakan dalam kompenan Barisan Nasional (BN) dan barisan pembangkang Sabah mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Haji Nasir berkata UMNO memiliki kekuatan tersendiri berdasarkan sokongan akar umbi dan sokongan rakyat.
“Jadi, bila-bila masa sahaja Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), kita telah bersiap siaga untuk menghadapi PRN Ke-17 dengan memperkukuhkan barisan hadapan.
“Maka, tidak kira sama ada kita berlawan satu sama satu mahupun bertembung tiga penjuru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, memandangkan UMNO Sabah memiliki autonomi sendiri dalam pemilihan calon maka, mereka akan memastikan calon yang dipilih bukan daripada jenis pengkhianat.
Menurut Suhaimi, jika dilihat kompenan BN dan parti pembangkang di Sabah memiliki sokongan tersendiri sama ada di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Ahli Parlimen Libaran itu berkata, pada tahun lalu Datuk Seri Hajiji Noor telah membentuk parti baharu. Akibat terlalu memikirkan soal politik negeri, akhirnya pentadbiran negeri Sabah akan terabai dan masalah rakyat gagal diselesaikan oleh kerajaan GRS.
“Dalam tempoh tiga tahun, Menteri Kewangan memaklumkan kerajaan berjaya mengutip hasil sebanyak RM19.03 bilion dan menerima peruntukan pembangunan persekutuan RM18.4 billion.
“Walaupun memiliki dana yang besar tetapi masalah kemudahan asas seperti jalan raya, isu air dan elektrik masih membelenggu rakyat Sabah.
“Kita semua maklum, jalan raya sana sini berlubang dan rosak. Keadaan itu membuatkan rakyat amat marah.
“Ini belum kita cerita tentang masalah air, elektrik dan lain-lain. Mereka (GRS) hanya memikirkan politik dan menaikkan papan tanda Sabah Maju Jaya di seluruh Sabah,” katanya
Jelas beliau, kenyataan yang dibuat oleh Hajiji sebelum ini jelas menunjukkan kegusarannya sekiranya kerjasama politik UMNO dan Warisan menjadi kenyataan. –UTUSAN