Tiada larangan warga asing beli minyak masak paket - Utusan Malaysia

Tiada larangan warga asing beli minyak masak paket

Minyak masak paket
ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan menjelaskan tiada sekatan atau larangan kepada warga asing untuk membeli minyak masak paket di kedai runcit, sebaliknya mereka turut tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, warga asing masih dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi, namun menerima cadangan supaya larangan tersebut dikenakan.

“Setakat ini di peringkat runcit memang tidak ada larangan, cuma di pasar raya kita sudah sebut untuk setiap pembelian itu kita kawal had pembelian tiga paket. Tetapi untuk larangan kepada warga asing itu setakat ini tidak dibuat. Ada cadangan dan syor tertentu tetapi apa mekanisme untuk kita pantau, kita larang.

“Larang boleh tetapi, peruncit itu mesti bersedia untuk melaksanakan. Kalau orang nampak ok, ambil gambar dan sebagainya. Tetapi apa mekanisme kalau kita buat sistem hanya untuk minyak masak paket,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, kerajaan ketika ini tidak merancang untuk melaksanakan penjualan minyak masak paket melalui sistem khusus selepas mendapati kos pelaksanaanya tidak efektif yang akan menyebabkan peruncit perlu menggunakan sistem tersebut.

Sebelum ini, terdapat hantaran video dan gambar dilaporkan tular dalam media sosial yang memaparkan segelintir warga asing menayangkan minyak paket yang dibeli dari kedai-kedai runcit di negara ini.

Tindakan tersebut mengundang kemarahan orang ramai khususnya rakyat negara ini yang mendakwa kemudahan minyak masak bersubsidi tersebut tidak sepatutnya dinikmati oleh warga asing.

Dalam pada itu, Armizan turut memaklumkan pihaknya sedang mengaudit penjualan bahan makanan itu bermula daripada peringkat pengilang dan pembungkusan semula bagi mengesan sebarang ketirisan dan penyelewengan terhadap pemberian subsidinya.

“Sebagaimana yang saya umumkan sebelum ini untuk minyak masak paket kita sedang melaksanakan audit bermula daripada Oktober lalu dan sasaran kita sehingga Mac, kita buat audit bermula daripada peringkat pembungkusan semula.

“Jadi, asasnya laporan audit itu adalah dari segi pematuhan. Mungkin belum ada perinciannya, tetapi ada tindakan sudah diambil kepada pengilang dan pembungkus semula yang kita lihat berlaku ketidakpatuhan dan penyelewengan,” ujarnya.

Katanya lagi, sehingga kini proses audit sudah pun selesai di Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Johor, malah beliau menegaskan untuk turun sendiri memantau dan melihat pelaksanaannya dekat premis-premis terlibat di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya