PETALING JAYA: Mengimbau kenangan sepentas bersama Aina Abdul, penyanyi, Ernie Zakri, bersyukur kerana perbandingan antara mereka berdua sudah semakin menghilang.
Kini, Ernie atau nama penuhnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, mahu memberi tumpuan memperkemas penampilan untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat.
“Memang saya dan Aina sangat berlainan. Kami bukanlah penyanyi yang sama. Kami berdua mempunyai cara persembahan mahupun gaya nyanyian berbeza
“Saya bersyukur kerana perbezaaan dan bakat kami berdua diraikan. Bukan dibandingkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Pemenangan Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 itu merasakan sudah menjadi tanggung jawabnya untuk selalu menyampaikan mesej positif kepada pendengar.
“Menjadi penyanyi, kita tidak hanya perlu memberi persembahan terbaik, malah menyampaikan mesej positif kepada peminat agar tiada apa-apa permusuhan.
“Bukan itu sahaja, malah saya anggap, hasil karya yang terbaik adalah lambang terima kasih kepada peminat.
“Saya dan peminat mempunyai hubungan yang sangat akrab dan mahu memeliharanya sampai bila-bila,” jelasnya yang sedang sibuk menjalankan kerja promosi di Indonesia.
Menurut penyanyi lagu Masing-Masing itu lagi, anugerah terbesar dalam hidupnya bukanlah memenangi trofi pertandingan nyanyian, namun penghargaan daripada peminat.
“Impian terbesar saya sebenarnya diukur bedasarkan kepada penerimaan dan penghargaan peminat. Jika lagu-lagu saya diberi perhatian oleh mereka, itu sudah kejayaan bagi saya.
“Ya, trofi dan menang pertandingan itu penting, tapi itu bukanlah satu-satunya tanda aras seorang penyanyi.
“Selain itu, saya mahu adakan konsert solo dan hasilkan lebih banyak katalog lagu. Itulah doa saya setiap hari,” katanya.
Sebelum ini, Ernie tampil bernyanyi bersama-sama Aina Abdul di konsert A Night With Aina Abdul Live In Singapore pada 6 Januari lalu.