PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan tiada lagi majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya bagi setiap musim perayaan bermula tahun ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat bagi mengurangkan kos penganjuran majlis seperti itu yang menelan kos antara RM100,000 hingga RM200,000 bagi setiap majlis.
Beliau berkata, bagi setiap majlis pelancaran, kos adalah membabitkan perbelanjaan cenderamata, makanan, sistem siar raya (PA system) dan pemasangan khemah.
“Langkah penjimatan itu antara hala tuju MOT dalam melaksanakan lebih banyak lagi program berfaedah kepada masyarakat termasuk pemberian topi keledar percuma.
“Majlis pelancaran majlis ini tidak perlu kerana apa yang penting, operasi bersepadu tetap dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan tidak akan dihentikan. Kita cuma hentikan majlis perasmian sahaja.
“Bagaimanapun, kalau syarikat swasta nak buat kempen. Itu boleh dan terpulang kepada mereka. Yang saya hentikan ialah bajet kementerian sebab kita akan guna untuk tujuan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat tahun baru 2024 di sini, hari ini.
Katanya, jika bajet majlis pelancaran itu boleh dijimatkan, maka MOT mungkin boleh salurkan untuk memberikan topi keledar percuma bernilai RM55 setiap satu kepada rakyat memerlukan.
Terdahulu dalam amanatnya, Loke berkata, antara fokus MOT tahun ini adalah membudayakan aspek keselamatan tidak kira sektor darat, udara mahupun maritim.
Loke berkata, keselamatan pengguna pengangkutan awam merupakan keutamaan MOT dan program yang akan dilaksanakan kelak perlu mencapai tujuannya.
“Fokus lain termasuk memperkasa jaringan ketersambungan dan kebolehcapaian sistem pengangkutan awam dan logistik, mengoptimumkan budaya penyelenggaraan infrastruktur, perkhidmatan dan rangkaian pengangkutan,” katanya. – UTUSAN