GEORGE TOWN: Siri bantahan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar mungkin akan memasuki episod baharu di mana tiada lagi rundingan dijalankan sekiranya kerajaan negeri tetap dengan keputusan untuk membina asrama tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, Prof. Dr Muhamad Idiris Saleh berkata, perjumpaan kedua jawatankuasa tersebut bersama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow akan dijalankan Jumaat ini bagi mendapatkan pendirian kerajaan negeri berkaitaan pembinaan asrama itu.
”Kami telah mengadakan perjumpaan pertama dengan Kon Yeow awal bulan ini bagi menyatakan pendirian penduduk setempat yang membantah pembinaan asrama pekerja asing, namun sehingga kini tiada maklum balas daripada pihak kerajaan.
“Jumaat ini kami akan bertemu Kon Yeow sekali lagi, jika kerajaan negeri tetap mahu membina asrama ini bermakna kerajaan negeri sendiri telah menutup pintu rundingan bersama kami, jadi mungkin bantahan akan dibuat dengan cara lain pula di mana tiada lagi diplomasi dijalankan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Komtar, di sini hari ini.
Terdahulu beliau menghadiri bantahan aman lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menolak pembinaan asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar di Komtar.
Lima wakil NGO tersebut yang terdiri daripada Pertubuhan Islam Gabungan Amal (Pertiga); Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida), Pertubuhan Merong; Pertubuhan Seni Silat Perguruan Silat Gayong Penggerak Pulau Pinang dan Pertubuhan Gerak Seni Silat Abjad Azli Jabat Kilat Malaysia turut menyerahkan surat bantahan pembinaan asrama warga asing di Teluk Kumbar kepada Ketua Menteri.
Sebelum ini, pada Disember tahun lalu, lebih 1,000 penduduk tempatan di Teluk Kumbar mengadakan demonstrasi aman bagi membantah serta mendesak kerajaan negeri Pulau Pinang untuk segera membatalkan projek pembinaan asrama pekerja warga asing yang dikatakan mampu memuatkan lebih 30,000 pekerja asing di kawasan tersebut.
Susulan itu, Kon Yeow memaklumkan, projek asrama pekerja warga asing di Teluk Kumbar yang dibantah penduduk setempat sebenarnya adalah berkapasiti lebih 7,000 pekerja sahaja namun penduduk tetap membantah pembinaan asrama itu di kawasan mereka.
Menurut Muhamad Idiris, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Teluk Kumbar, beliau telah menggunakan jalan diplomasi dan rundingan bersama dengan kerajaan negeri bagi menyuarakan bantahan penduduk setempat.
”Namun nampaknya kerajaan negeri tidak mahu mendengar suara rakyat, selepas ini kami akan berbincang dengan penduduk setempat gerakan lain yang sesuai dijalankan bagi membantah pembinaan asrama warga asing ini,” katanya.
Dalam pada itu, jurucakap lima NGO yang menolak pembinaan asrama warga asing itu, Ahmad Yakqub Nazri berkata, lebih 5,000 ahli-ahli NGO tersebut menolak pembinaan asrama warga asing itu di Teluk Kumbar kerana bimbang dengan pelbagai masalah sosial yang bakal timbul di situ.
”Jangan sampai penduduk Teluk Kumbar berkampung di pekarangan Komtar pula selepas ini bagi membantah pembinaan asrama ini, kerana sebelum ini rakyat pernah tidur selama 10 hari di bawah Komtar sebagai tanda protes terhadap kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN