KUALA LUMPUR: Pelakon, Nina Juren tidak menolak wujud persepsi tentangnya yang mengenakan bayaran tinggi disebabkan status sebagai isteri kepada orang kenamaan.
Katanya, persepsi itu sama sekali tidak benar dan perlu diperbetulkan.
“Bukan itu sahaja, ada juga yang berpandangan saya sudah tak mahu berlakon. Saya ada kehidupan sendiri yang tidak saya campur adukkan dengan kerjaya saya sebagai pelakon.
“Saya tetap sama dengan pelakon lain yang kadar bayaran ditetapkan berdasarkan watak dan kerja yang kami laksanakan. Tiada kaitan dengan status saya sebagai isteri kepada seseorang berpangkat Datuk.
“Jadi persepsi yang dikaitkan dengan saya itu tak benar. Saya tetap dibayar sewajarnya. Kalau bayaran tak setimpal dengan kerja, saya elakkan, itu sahaja,” katanya ketika sidang media drama Layang-layang Perkahwinan, baru-baru ini.
Nina atau nama sebenarnya Haznina Juren Haniff berkahwin dengan Datuk Seri Mohd. ibrahim Mohd Nor pada tahun 2002. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan enam cahaya mata.
Bercakap soal rumah tangga, Nina tidak menafikan komunikasi penting untuk keharmonian hubungan suami isteri. Katanya, amalan tersebut yang membuatkan perkahwinannya bahagia dan berpanjangan.
“Saya untung kerana memiliki suami yang boleh dibawa berbincang. Apa yang suami tak suka, dia akan maklumkan kepada saya. Begitu juga sebaliknya.
“Sama juga dalam hal ehwal menguruskan keluarga. Kami akan cari kesepakatan dan keputusan tidak dibuat sebelah pihak sahaja. Itu perjanjian yang kami persetujui sebelum berkahwin.
“Ini sebabnya saya cari suami yang lebih matang. Bagi saya cari pasangan lebih elok dalam kalangan yang bukan seusia kita, carilah yang lebih matang,” ujarnya.